Pengaruh Islam Di Alam Melayu

ASPEK AKIDAH
Sebelum kedatangan Islam masyarakat Melayu adalah penganut animisme kemudian diikuti oleh Hindu dan Buddha. Kepercayaan animisme ini merupakan kepercayaan bahawa setiap benda di bumi ini mempunyai semangat yang mesti dihormati agar semangat tersebut tidak menganggu manusia, malah membantu mereka dari semangat dan roh jahat dan juga kehidupan seharian mereka misalnya misalnya menyembah pokok dan batu-batuan. Konsep akidah yang bercelaru ini berada dalam genggaman kepercayaan yang tidak rasional sehinggalah datangnya Islam yang membawa agama tauhid. Islam telah berjaya membawa masyarakat kepada pandangan hidup yang benar, tepat, sejagat, rasional yang tidak pernah berlaku pada zaman sebelumnya serta membebaskan manusia dari sebarang bentuk perhambaan kecuali kepada Allah semata-mata. Akidah Islam mengajar manusia supaya wajib menyembah Allah subhanahu wa ta’ala semata-mata. 

POLITIK DAN PERTADBIRAN
Lahirnya kerajaan-kerajaan Islam seperti kerajaan Islam Kelantan, kerajaan Islam Terengganu, kerajaan kesultanan Melayu Melaka dan sebagainya yang dapat melemahkan kekuasaan Hindu serta Buddha. Pada waktu itu mufti dan kadi telah dilantik sebagai penasihat Sultan dan wujudnya system syura dalam pemerintahan. Islam juga telah berjaya membangkitkan semangat jihad masyarakat Melayu dalam menghadapi penjajah. 

UNDANG-UNDANG
Undang-undang Islam telah dilaksanakan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Kalau dahulu undang-undang telah digubal mengikut citarasa dan selera Raja, Bendahara serta Temenggung sehingga semakin tinggi taraf social seseorang semakin besar pula kemungkinan terlepas daripada hukuman-hukuman tertentu. 
Kini Islam telah memperkenalkan undang-undang yang adil dalam bentuk yang lebih luas seperti undang-undang harta warisan, undang-undang muamalah, undang-undang zina, undang-undang bagi pembuat kesalahan-kesalahan tertentu, undang-undang laut Melaka sejak zaman Sultan Muhammad Syah (Raja kecik Besar) dan juga hukum kanun Melaka sejak zaman Sultan Mahmud Syah (1488 M). Di Brunei, kanun Sultan Hassan telah menjadi asas perundangan syariah. Ia mengandungi 46 fasal dan disebut sebagai undang-undang yang telah memperkukuhkan institusi keagamaan di Brunei(Hashim Abdul Hamid, 1994). 

EKONOMI
Kalau dahulu kegiatan ekonomi hanya dijalankan melalui perdagangan dan pertanian, tetapi kedatangan Islam telah memberi sumbangan yang paling besar kepada orang-orang Melayu dengan memperkenalkan sistem timbang dan ukur, sistem mata wang, sistem jual beli dan institusi kewangan (Baitulmal) untuk menguruskan harta zakat, wakaf, sedekah, lain-lain. 

BAHASA DAN TULISAN JAWI
Islam telah menaikkan taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa penyebaran dakwah Islamiah sejak abad ke 13M dan menjadikannya sebagai bahasa sains, akademik, undang-undang, politik, perdagangan dan sebagainya. Islam juga telah menjadikan Bahasa Melayu dari bahasa pertuturan kepada bahasa persuratan dan telah memperkayakan perbendaharaan kata bahasa tersebut, seperti kata-kata madrasah, ulamak, ustaz, ilmu, makmal, sabun, tarikh, dan sebagainya. Dalam hal ini, dianggarkan lebih 1000 kalimah Arab telah dipinjam oleh bahasa Melayu. 
Kedatangan Islam juga telah membawa bersama tulisan Arab yang menjadi tulisan Melayu, berperanan sebagai pengikut perpaduan seluruh bangsa Melayu. Hal ini berlaku kerana ajaran Islam amat menekankan tentang tradisi ilmu melalui budaya membaca dan selanjutnya telah membuka ruang kepada penciptaan tulisan jawi(Syed Muhammad Naquib al-Attas). 

SOSIAL BUDAYA
Islam telah menghapuskan sistem kasta yang membuat garis pemisah antara kedudukan raja dan rakyat. Islam adalah agama yang mengajar bahawa tingkat kemuliaan seseorang bergantung kepada tingkat ketakwaannya terhadap Allah subhanahu wa ta’ala. Islam juga mendidik masyarakat Melayu dengan nilai-nilai serta akhlak yang mulia dan meninggalkan amalan-amalan songsang dalam adat istiadat Melayu. Melaka telah tampil sebagai pusat kebudayaan Melayu-Islam dan melahirkan penulis-penulis beserta karya-karya sastera mereka. Hasil karya berbentuk Islam ini telah menggantikan hikayat-hikayat Hindu yang penuh dengan khayalan dan fantasi. Seperti cerita nabi-nabi dan pahlawan Islam termasuk hikayat Iskandar Zulkarnain, hikayat Amirah Hamzah serta puisidan syair Hamzah Fansuri. 

PENDIDIKAN
Sebelum kedatangan Islam, aktiviti pendidikan dijalankan secara tidak formal di istana-istana dan tempat ibadah. Ia hanya melibatkan kerabat-kerabat diraja dan golongan bangsawan sahaja. Setelah kedatangan Islam, pendidikan telah dijadikan hak awam. Kaum wanita juga diberi hak yang sama seperti kaum lelaki dalam menuntut ilmu. Pusat-pusat pendidikan Islam mula didirikan di serata tempat. Di samping masjid dan surau, sekolah-sekolah agama juga didirikan untuk mengajar pelbagai ilmu agama. 

KESENIAN
Pengaruh kesenian Islam dapat dilihat dalam banyak aspek. Di antaranya seperti seni bina, kaligrafi, seni suara dan muzik, seni ukir dan sebagainya. Dalam seni bina masjid, Alam Melayu mengambil konsep-konsep susun atur ruang yang ada pada masjid-masjid terdahulu. Ayat-ayat al-Quran, al-Hadith dan syair pula ditulis dengan indah menggunakan pelbagai jenis seni khat. 
Sementara seni suara dan muzik telah melahirkan kaedah tarannum al-Quran, berzanji, qasidah, nasyid, dan lain-lain. Manakala tembikar-tembikar dan dinding-dinding bangunan yang terdiri dari bahan batu mahupun kayu dihias dengan ukiran-ukiran yang menggunakan motif-motif berunsurkan Islam. Tidak ketinggalan juga rekaan busana dan pakaian yang beraneka rupa muncul dengan begitu banyak sesuai dengan tuntutan menutup aurat. 
Islam mempunyai pengaruh yang amat besar, memdalam dan meluas di Alam Melayu sehingga berjaya menghakis pengaruh Hindu dan Buddha. Kedatangan Islam menandakan bermulanya zaman baru dan berakhirnya satu zaman lama/kuno di rantau ini. Kedatangan Islam telah memperlihatkan peningkatan darjat bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi serta wujudnya sistem tulisan jawi yang mantap. Islam juga telah memberi ruang kepada bahasa Melayu menjadi lingua franca di rantau ini. Islam jugamempengaruhi lapangan budaya material dan ekspresif orang-orang Melayu. Masyarakat Melayu telah menghasilkan kubah dan mihrab (menghala kiblat), ukiran batu nisan, seni muzik dan lagu berbentuk nasyid, qasidah, berzanji, seni khat, dan lain-lain. 

TAMADUN MELAYU SEBAGAI ASAS PEMBINAAN TAMADUN MALAYSIA
Penyebaran Islam telah merubah sistem nilai dan cara pemikiran orang melayu. Islam memberi satu pandangan dunia(world view) yang baru dan membentuk sebahagian daripada umat Islam yang mempunyai jaringan antarabangsa, memiliki tradisi dan tamdun yang tinggi. Nilai – nilai seperti egalitarian, penghormatan kepada hak manusia dan kebertanggungjawaban manusia terhadap segala tindakan mereka telah diterima dalam sistem nilai orang melayu. Islam telah mencorak kebudayaan melayu dari sudut sistem sosial, intelektual, politik, bahasa, tatacara hidup, perundangan, kepercayaan, adat istiadat, estetika seni, kesusasteraan dan lain-lain. Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah merubah corak pemikiran masyarakat Melayu ketika itu dalam pelbagai aspek kehidupan di antaranya aspek hubungan makhluk dan pencipta, aspek pembangunan dan ketamadunan, susun atur masyarakat lebih sistematik, mempunyai nilai seni dan kebudayaan tertentu serta sistem tulisan dan bahasa pertuturan yang tersendiri. Perubahan corak pemikiran dan kepercayaan yang bersandarkan kepada ajaran Islam ini telah menjadi landasan kepada perkembangan tamadun Melayu dan menjadi asas kepada terbinanya tamadun Malaysia. Terdapat banyak faktor yang mendorong kepada pembinaan tamadun Malaysia berdasarkan kepada tamadun Islam. Antaranya ialah :-
1. Pengaruh Islam Dalam Nilai dan Budaya Melayu. 
Kedatangan Islam ke negara ini telah mengubah nilai dan budaya masyarakat Melayu termasuklah nilai kepercayaan, nilai sosial dan adat, nilai pemerintahan, nilai ekonomi dan sebagainya. Perubahan paling utama ialah dari sudut akidah. Kepercayaan masyarakat Melayu telah bertukar kepada konsep Tauhid yang berasaskan keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alayang terkandung di dalam konsep dua kalimah syahadah. Masyarakat melayu telah diperkenalkan dengan konsep-konsep ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji serta ibadah-ibadah sunat yang lain. Tulisan jawi yang merujuk kepada perkataan Arab di dalam al-Quran telah digunakan secara meluas di Alam Melayu. Adat istiadat Melayu yang dahulunya dipengaruhi oleh fahaman Hinduisme dan Buddhisme telah ditukar kepada budaya hidup yang berasaskan Islam. 

2. Bangsa Melayu Menurut Perlembagaan. 
Perlembagaan telah memberi kelebihan dan pengiktirafan kepada orang Melayu sebagai peribumi dan orang yang mempunyai kuasa memerintah dengan memperuntukkan pemerintah tertinggi negara iaitu Yang Di Pertuan Agong (YDPA) mestilah bersandarkan kepada mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Hak istimewa orang Melayu sememangnya dijamin dalam perlembagaan. Dalam Perkara 153 dalam perlembagaan memberi tanggungjawab yang berat ke atas YDPA untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak tetapi diseimbangkan dengan kepentingan kaum-kaum lain termasuk hak-hak mendapat kewarganegaraan Malaysia, hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan Bahasa ibunda dan yang paling utama ialah untuk mendapat layanan sama rata. 

3. Islam dan perlembagaan. 
Perkara 3(1) perlembagaan persekutuan menetapkan bahawa Islam ialah agama rasmi persekutuan tetapi agama lain diberi kebebasan untuk diamalkan dengan aman dan damai. Islam dijadikan agama rasmi terutamanya bagi maksud-maksud upacara, antaranya bagi membolehkan doa di baca dalam majlis rasmi. Perisytiharaan ini juga membolehkan Majlis Raja-Raja mengeluarkan perintah tentang upacara dan amalan agama Islam yang terpakai bagi persekutuan secara menyeluruh. Selain itu, ia juga memberikan kuasa kepada polis persekutuan dan mahkamah persekutuan dalam hal-hal tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang Islam negeri serta membenarkan undang-undang Persekutuan atau undang-undang Negeri meperuntukkan bantuan kewangan khas bagi menubuhkan atau menyelenggara institusi Islam atau urusan dakwah bagi orang yang menganut agama itu. 
4. Islam dalam Dasar Pendidikan Negara. 
Perlembagaan Negara memberi peruntukan kepada pelaksanaan dasar-dasar pendidikan. Perkara 212 dalam Perlembagaan Negara memberi jaminan bahawa setiap warganegara berhak mendapat peluang pelajaran yang sama tanpa mengira diskriminasi disebabkan agama, kaum, keturunan atau tempat lahir. Terdapat empat kali perubahan besar dilakukan oleh kerajaan dalam menentukan kejayaan sesuatu pendidikan dalam proses pembinaan tamadun Malaysia. Antara saluran yang digunakan dalam merangka rancangan pendidikan ini adalah melalui Laporan Razak 1956, Laporan Abdul Rahman Talib 1961, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah 1980 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah 1988. 
 Dasar pendidikan negara juga menekankan pendidikan Islam. Berdasarkan kepada dasar tersebut Kementerian Pendidikan telah mewajibkan mata pelajaran agama kepada semua penuntut beragama Islam sejak merdeka. Pada tahun 1956, kerajaan telah mewajibkan mata pelajaran agama Islam di semua sekolah kerajaan dan swasta. Seksyen 49 Ordinan 1957 telah menyatakan secara terperinci kedudukan pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah di negara ini. Ordinan tersebut memperlihatkan kesungguhan kerajaan terhadap pendidikan Islam di mana semua orang Islam akan dapat mengikuti pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah kerajaan atau swasta sekurang-kurangnya 11 tahun iaitu 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah. Apabila Akta Pelajaran 1961 diluluskan dan dikuatkuasakan pada 1962 pelajaran agama Islam telah dimasukkan sepenuhnya dalam jadual waktu pelajaran biasa kepada murid-murid beragama Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah bantuan kerajaan selama dua jam seminggu dan guru agama telah dilantik mengajar matapelajaran tersebut oleh kementerian pelajaran. 

5. Islam dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. 
Kerajaan telah membentuk satu Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan kepada kebudayaan Islam. Tujuan dasar ini diwujudkan adalah untuk membentuk, mewujudkan dan mengekalkan identiti negara yang unik dan menjadi saluran untuk mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan. 

Kerajaan Malaysia menerima dan menetapkan bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1971 ini mestila berdasarkan kepada 3 prinsip iaitu ‘Kebudayaan kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini’, yang kedua, ‘Unsur kebudayaan lain yang sesua dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan’ dan yang ketiga, ‘Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan Malaysia’. 

Antara matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah :-
1. Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan kebangsaan. 
2. Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan. 
3. Memperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan manusia dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. 
Bagi mencapai maksud tersebut, beberapa strategi dirangka supaya nilai budaya yang hendak diperkenalkan tidak hanya memihak kepada sesuatu kaum semata-mata. 
Antara strategi tersebut ialah :-
1. Meninggikan taraf dan mutu kesenian. 
2. Memenuhi keperluan sosio-budaya negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. 
3. Mengamalkan toleransi agama dan budaya. 
4. Mewujudkan komunikasi yang berkesan kea rah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia. 
Peranan budaya Melayu dalam negara pelbagai bangsa merupakan dimensi yang perlu difikirkan agar dapat memajukan negara Malaysia pada masa akan datang. 

 6. Dasar Bahasa Melayu. 
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan warganegara dan mempunyai fungsi yang simbolis. Pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bermaksud penggunaannya dalam semua urusan terutama urusan pentadbiran negara. Selain itu, Bahasa Melayu turut berfungsi sebagai bahasa pengantar. Melalui Dasar Pendidikan Negara, semua peringkat persekolahan menggunakan bahasa Melayu sejak tahun 1981. Pada tahun 1983, semua kursus tahun pertama di universiti-universiti tempatan disampaikan dalam Bahasa Melayu. 

7. Jatidiri Melayu. 
Jatidiri bermaksud perwatakan atau sifat yang tulen atau sifat semulajadi. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai sifat yang tidak bercampur dengan nilai-nilai tambah yang akan menyebabkan nilai sebenar sesuatu bangsa terhakis. Ini bermakna jatidiri Melayu adalah pegangan kepada nilai-nilai tradisi yang berpaksikan kepercayaan dan keyakinan. Dalam erti kata lain, jatidiri Melayu merujuk kepada dasar pegangan dan kepercayaan mereka iaitu Islam kerana Melayu dihubungkaitkan dengan dasar kepercayaan agama Islam. Antara perkara yang menjadi asas kepada pembinaan jatidiri Melayu sebagai asas kepada Tamadun Malaysia ialah penguasaan ilmu, keimanan yang mantap, ketinggian budaya, dan ketinggian akhlak. Kesemua perkara ini penting dalam membina jatidiri Melayu agar dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Melayu seterusnya dapat memberi sumbangan kepada negara dan bangsa. 

Kesimpulan 
Tamadun Islam telah mengubah zaman kegelapan Tamadun Barat menjadi sebuah tamadun yang maju sehingga kini. Secara asasnya tamadun Islam telah mementingkan akhlak keperibadian mulia setiap insan tanpa membezakan sesiapa. 
Manakala tamadun Barat pula lebih mementingkan perihal kebendaan(materialistik) walaupun soal akhlak insan terbiar. Dalam dunia tanpa sempadan ini, banyak negara-negara yang kian membangun dengan ambil teladan mengenai tamadun-tamadun sebelumnya untuk memperbaiki dan mengecapi kejayaan. Sebaliknya, ada juga yang mengikut sikap dan cara tamadun-tamadun yang membawa ke arah kesusahan. 
Persoalannya, adakah tamadun Barat yang bangkit daripada tamadun Islam itu boleh disama ertikan dan serupa? Di mana letaknya nilai sebuah tamadun yang sebenarnya berjaya?

Rujukan 
1. Pensyarah (2011). Tamadun Islam : Pemikiran dan Sejarah Perkembangan. Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Melaka. 
2. Abdul Rahman Rukaini (1980). Nota Ringkas Mengenai Islam Di Alam Melayu dalam Islam di Malaysia. Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia. 
3. Hashim Abd Hamid (1994). Jurnal Darussalam mengenai Melayu Islam Beraja : Satu Kesinambungan Sejarah Brunei. Dalam Brunei di Tengah-tengah Nusantara. 
Bandar Sri Bagawan : Jabatan Pusat Sejarah. 
4. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1990). Islam dalam sejarah dan Kebudayaan Melayu. Petaling Jaya : Angkatan Belia Islam (ABIM). 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)