Sistem Politik Islam

Pengertian politik secara umumnya

Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain. 

perkataan politik berasal daripada bahasa latin, seterusnya diterjemahkan dengan perkataan yang sama dalam pelbagai bahasa dunia, samada bahasa Barat atau Timur. Makna dan maksudnya ialah mentadbir, memerintah, memimpin dan mengendalikan urusan. Dalam bahasa Arab ia disebut dengan perkataan siyasah, daripada perkataan - sasa, yasusu, siyasatan -. Disebut dalam hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud, “Kaum Bani Israil di zaman dahulu yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah para Nabi, setiap orang Nabi yang dimatikan diganti oleh Nabi selepasnya, tiada lagi Nabi selepasku, akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah), mereka itu ramai. Para sahabat bertanya: apakah perintah (pesanan) Rasulullah  terhadap kami? Sabdanya: tunaikan bai’ah (ikrar taat setia) dengan keutamaan yang pertama dan berikutnya. Berikan hak mereka kepada mereka, sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan urusan kepimpinan yang diminta supaya mereka menunaikannya. ”

Perkataan siyasah tidak disebut di dalam al-Quran, tetapi maksudnya termasuk dalam perkara yang dinaskan secara nyata, para ulama menegaskan ia termasuk dalam maksud perkataan "khilafah" yang dinyatakan al-Quran, yang menjadi salah satu daripada tujuan manusia dicipta oleh Allah Taala. 

Firman Allah Taala :  “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi. Mereka (Malaikat) lalu berkata; Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu mereka yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. ” (Al-Baqarah:30)

Para ulama seperti al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Khaldun di dalam kitabnya Al-Muqaddimah, Abu Ya'la dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, mereka masing-masing meletakkan siyasah (politik) dalam kewajipan Khilafah dan Imamah : 
“Tugas imamah (kepimpinan negara) itu diwujudkan bagi melaksanakan kewajipan khilafah yang pernah dilakukan oleh kenabian bagi memelihara agama dan siyasah (politik) mentadbir urusan keduniaan. Bagi melaksanakannya, hukumnya wajib dengan Ijma’(para ulama). ”Urusan politik termasuk dalam perkara ilmu feqah dengan bab dan fasal serta furu’nya. 

5. Pengertian politik menurut Islam
Politik adalah 'ilmu pemerintahan' atau 'ilmu siyasah', iaitu 'ilmu tata negara'Pengertian dan konsep politik atau siasah dalam Islam sangat berbeza dengan pengertian dan konsep yang digunakan oleh orangorang yang bukan Islam. Politik dalam Islam menjuruskan kegiatan ummah kepada usaha untuk mendukung dan melaksanakan syari'at Allah melalui sistem kenegaraan dan pemerintahan. 

la bertujuan untuk menyimpulkan segala sudut Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai syahksiyyah untuk menerajui dan melaksanakan undang undang. 

Pengertian ini bertepatan dengan firman Allah yang mafhumnya: "Dan katakanlah: Ya Tuhan ku, masukkanlah aku dengan cara yang baik dan keluarkanlah aku dengan cara yang baik dan berikanlah kepadaku daripada sisi Mu kekuasaan yang menolong. " (AI Isra': 80)

Di atas landasan inilah para 'ulama' menyatakan bahawa: "Allah menghapuskan sesuatu perkara melalui kekuasaan negara apa yang tidak dihapuskan Nya meIaiui al Qur'an"

 Politik di dalam bahasa Arab dikenal dengan istilahsiyasah. Oleh sebab itu, di dalam buku-buku para ulama dikenal istilah siyasah syar’iyyah. Dalam Al Muhith, siyasah berakar kata sâsa - yasûsu. Dalam kalimat Sasa addawaba yasusuha siyasatan berertiQama ‘alaiha wa radlaha wa adabbaha (mengurusinya, melatihnya, dan mendidiknya). 

Bererti secara ringkas maksud Politik Islam adalah pengurusan atas segala urusan seluruh umat Islam. 
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya :
“ "Adalah Bani Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah. " (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) ”
Jelaslah bahawa politik atau siyasah itu bermakna adalah mengurusi urusan masyarakat. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. bersabda :
“ "Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim). (Hadis Riwayat Thabrani)

6. Tujuan politik menurut Islam
 Tujuan politik menurut Islam ialah untuk membangunkan sebuah sistem pemerintahan dan kenegaraan yang tegak di atas dasar untuk melaksanakan seluruh hokum syari’at Islam. 
 Tujuan utamanya ialah untuk menegak kan sebuah Negara Islam atau darul Islam. Dengan adanya pemerintahan yang mendukung syari’ah, maka akan tertegaklah al din dan berterusanlah segala urusan manusia menurut tuntutan- tuntutan al din tersebut. 
Tujuan politik ialah sebuah keadilan (justice). Ini disebabkan karena, keadilan merupakan hal yang esensial bagi pemenuhan kecenderungan alamiah manusia. Bahkan Allah mengharuskan untuk menegakkan keadilan walaupun dengan keluarga dan kerabat terdekat kita. Surat al-Nisa Ayat 135, Allah berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَوِٱلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ
Artinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapak dan kaum kerabatmu. ”
Namun, Thomas Hobbes meiliki pandangan lain, pada dasarnya manusia itu mementingkan diri sendiri dan bersifat rasional. Oleh sebab itu, secara alamiah manusia cenderung berkonflik dengan sesamanya. Sifat mementingkan diri sendiri tampak dalam    persaingan memperebutkan perolehan kekayaan, ketidakberanian demi keselamatan, dan kemuliaan demi reputasi. Sifat individual inilah yang ditentang oleh Islam. 
Oleh sebab itu, dari adanya asumsi mayarakat bahwa politik itu buruk, sebenarnya telah terpatahkan dengan pendapat yang ada di atas. Dengan demikian politik merupakan ilmu yang sangat urgen yang “wajib” dimiliki setiap individu masing-masing. Karena di dalamya mengandung sebuah kebaikan. Untuk mari berpolitik untuk menciptakan sebuah keadilan yang semoga diridhoi oleh Allahsubhanahu wa ta’ala, amiin
Para fuqahak Islam telah menggariskan 10 perkara penting sebagai tujuan kepada sistem politik dan pemerintahan Islam:
1. Memelihara keimanan menurut prinsip-prinsip yang telah disepakati oleh ulamak salaf daripada kalangan umat Islam
2. Melaksanakan proses pengadilan dikalangan rakyat dan menyelesaikan masalah dikalangan orang-orang yang berselisih
3. Menjaga keamanan daerah-daerah Islam agar manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai
4. Melaksanakan hukuman-hukuman yang telah ditetapkan syarak demi melindungi hak-hak manusia
5. Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar
6. Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam
7. Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat, dan sedekah sebagaimana yang ditetapkan syarak
8. Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros atau kikir
9. Melantik pegawai-pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal-ehwal pentadbiran negara
10. Menjalankan pengawalan dan pemeriksaan yang rapi dalam hal-ehwal awam demi untuk memimpin negara dan melindungi Ad-Din

7. ASAS ASAS POLITIK ISLAM
Sistem politik Islam ialah hukum atau perspektif Islam yang berkaitan dengan cara bagaimana urusan rakyat diatur dengan menggunakan hukum Islam. kerana politik itu sendiri dari perspektif Islam ialah mengurus urusan ummat dengan menggunakan hokum Islam baik di dalam ataupun di luar negara. 

Oleh itu, Islam telah menetapkan asas –asas sistem politik Islam untuk umatnya, yang terdiri daripada empat jenis iaitu Hakimiyyah ilahiyyah (kuasa tertinggi adalah hak mutlak allah), risalah atau perutusan- perutusan allah Subhanahu Wa Ta’alaseperti junjungan besar kita Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. seterusnya khalifah atau pemimpin. khalifah ialah orang yang dilantik untuk mempin negara Islam setelah kewafatan Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam, khalifah juga sering disebut amirul muqminun atau pemimpin orang yang beriman. Asas asas sistem politik Islam yang terakhir sekali ialah asas tanggungjawab rakyat kepada negara. Seluruh masyarakat perlulah memainkan peranan dalam sistem politik Islam kerana pemimpin hanya boleh mengarahkan dan mengetuai tetapi rakyat yang harus melakukan selebihnya. rakyat perlulah taat kepada pemimpin, seperti yang kita tahu nilai ketaatan dalam Islam amatlah dititikberatkan ketidaktaan rakyat atau ummat boleh membawa kehancuran ummat Islam contohnya kekalahan tentera Islam pada perang uhud yang berpunca dari ketidaktaan pasukan pemanah Islam yang turun dari gunung walaupun sudah diarahkan untuk tunggu di atas gunung yang akhirnya menyebabkan kekalahan yang teruk buat tentera Islam. 

7. 1 Hakimiyyah Ilahiyyah

Hakimiyyah Illahiyyah ( kuasa tertinggi adalah hak mutlak Allah ) atau memberikan kuasa pengadilan dan kedaulatan hukum tertinggi dalam sistem politik Islam hanyalah hak mutlak Allahsubhanahu wa ta’ala. Hakimiyyah Ilahiyyah membawa erti bahawa teras utama kepada sistem politik Islam ialah tauhid kepada Allahsubhanahu wa ta’ala. 

“Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia, bagiNyalah segala puji di dunia dan akhirat dan bagiNyalah segala penentuan dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan”

Hakimiyyah atau memberikan kuasa pengadilan dan pendaulatan hukum tertinggi dalam sistem politik Islam hanyalah hak mutlak Allahsubhanahu wa ta’ala. Tidak mungkin ada perkongsian kuasa denganNya dalam mentadbir dan menyusun alam semesta dan Dialah Yang Maha Berkuasa kepada undang undang tersebut. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan tidak ada sekutu bagiNya dalam kekuasaanNya. ” (Surah al Furqan:2)

“BagiNya segala puji di dunia dan di akhirat dan bagiNya segala penentuan (hukum) dan kepadaNya kamu dikembalikan. ” (Surah al Qasas:70) 

 “Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” (Surah al An’am:57) 

Allah adalah pemilik dan pemelihara alam semesta serta segala isinya termasuk manusia dan tidak ada jalan lain bagi manusia kecuali patuh dan tunduk kepada Yang Maha Esa. Kuasa dan hak untuk menghakimi dan mengadili tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali Allah. Oleh kerana itu, manusia wajib taat dan beribadat kepadaNya. Tiada kuasa lain selain Allah yang mempunyai sifat adil untuk semua hambaNya. 

Allah sahaja yang memiliki hak untuk mengeluarkan hukum kerana Dialah Allah Yang Maha Pencipta dan Pemilik alam ini. Hanya hukum Allah Yang Maha Berkuasa sahaja mempunyai kebenaran mutlak yang tidak boleh dipertikaikan lagi tentang kebenarannya dan hanya Dia Yang Maha Mengethaui hakikat segala sesuatu, dan di tanganNya terletak segala penentuan hidayah dan penentuan jalan yang selamat dan lurus untuk manusia sejagat (Muhammad Abdul Rauf:13)

7. 2 Risalah

Islam mengiktirafi jalan kehidupan para rasul sebagai sunan al huda atau jalan jalan hidayah. Jalan kehidupan mereka berlandaskan kepada segala wahyu yang diturunkan daripada Allah untuk diri mereka dan juga untuk umat umat mereka. Hukum hukum Allah dan syariat syariatNya disampaikan sendiri oleh para rasul kepada manusia. 

Dalam sistem politik Islam, manusia telah diperintahkan oleh Allahsubhanahu wa ta’ala untuk menerima segala perintah dan larangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Manusia diwajibkan tunduk kepada perintah perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak mengambil selain daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menjadi hakim dalam segala perselisihan yang terjadi di antara mereka. 

Firman Allah yang mafhumnya:  “Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota kota maka adalah untuk Allah, Rasuk, kerabat Rasul, anak anak yatim, orang orang miskin dan orang orang kaya saja dia antara kamu. Apay yang diberikan Rasul kepada kamu maka terimalah dia. DAn apa yang dilarannya bagimu maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya”   (Surah al-Hasyr:7) 

Firman Allah yang bermaksud: “Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga meraka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya” (Surah an-Nisa:65)

“Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul melainkan untuk dita’ati dengan seizin Allah. ” (SUrah an-Nisa:64)

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang orang mu’min, akan Kami biarkan mereka bergelimang daiam kesesatan yang telah mereka datangi, dan Kami masukkan ia ke dalam jahannam dan jahannam itu adalah seburuk buruk tempat kembali. ” (Surah an-Nisa:115)

7. 3 Khalifa

Khilafah bererti perwakilan. Kedudukan manusia di atas muka bumi ini adlah sebagai wakil Allah. Oleh itu, dengan kekuasaanyang telah diamanahkan ini, maka manusia hendaklah melaksanakan undang-undang Allah dalam batas yang ditetapkan. Di atas landasan ini, maka manusia bukanlah penguasa atau pemilik tetapi hanyalah khalifah atau wakil Allah yang menjadi Pemilik yang sebenar. 

“Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat. “ (Yunus: 14) 

Seseorang khalifah hanya menjadi khalifah yang sah selama mana ia benar-benar mengikuti hukum-hukum Allah. Ia menuntun agar tugas khalifah dipegang oleh orang-orang yang memenuhi syarat-syarat berikut: Terdiri daripada orang-orang yang benar-benar boleh menerima dan mendukung prinsipprinsip tanggngjawab yang terangkum dalam pengertian kkhilafah. Tidak terdiri daripada orang-orang zalim, fasiq, fajir dan lalai terhadap Allah serta bertindak melanggar batas-batas yang ditetapkan olehNya. Terdiri daripada orang-orang yang berilmu, berakal sihat, memiliki kecerdasan, kearifan serta kemampuan intelek dan fizikal. Terdiri daripada orang-orang yang amanah sehingga dapat dipikulkan tanggungjawab kepada mereka dengan yakin dan tanpa keraguan 

7. 4 Tanggungjawab rakyat kepada Negara
 Asas yang terakhir dalam sistem politik Islam ialah tanggungjawab rakyat kepada Negara. seluruh penduduk sesebuah Negara yang mempunyai tugas dan kewajipan yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Rakyat mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, antaranya:
• Tanggungjawab untuk berjihad jika berlaku keadaan yang mengancam keselamatan Negara seperti kebebasan mengamalkan ajaran agama mengikut agama mengikut anutan rakyat tersebut
• Rakyat tidak boleh menimbulkan sebarang ancaman yang boleh membawa kepada kekacauan dan akhirnya membawa kepada peperangan di dalam Negara. 
• Larangan dari melakukan sebarang hasutan sehingga boleh mengugat perpaduan dan kesatuan umat. sabda Rasullullahsallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud: Barang siapa yang memecahbelahkan umatku penggallah lehernya” (hadis Riwayat An-nasa’i)
8. Prinsip-Prinsip utama sistem politik Islam
Islam tidak memberikan batasan sistem pemerintahan, tetapi menyerahkan kepada umat untuk memilih dengan bebas sistem yang sesuai dengan lingkungan, zaman serta mengingat bahwa ajakan Islam adalah dakwah universal, untuk segala zaman dan tempat. 

Setiap sistem pemerintahan Islam tidak boleh terlepas dari prinsip-prinsip politik dan perundang-undanganya pada al-Quran, kerana al-Quran merupakan sumber pokok dari perundang-undangan tersebut. 

Al-Quran memang tidak menyebutkan bagian perbagian secara terperinci. Hal tersebut tampaknya memang dibiarkan oleh Allah, agar lewat ijtihad umat Islam mampu mengembangkannya menjadi sistem politik dan perundang-undangan yang sesuai dengan keperluan waktu dan lingkungannya. 

Sumber utama kedua adalah Sunnah yang merupakan petunjuk pelaksanaan yang secara umum melengkapi norma-norma yang ada dalam al-Quran. Kerana itu prinsip-prinsip konstitusional dan politik terikat kepada kedua sumber tersebut. Kerana kedua sumber itu memang menjadi sumber pegangan dalam segala aturan yang menyangkut seluruh aspek kehidupan setiap muslim. 

Selain kedua sumber hukum tersebut, dalam sistem politik Islam juga terdapat sumber hukum hukum Qanuni, yang bersumber dari lembaga-lembaga pemerintahan. 

Secara hirarki sumber hukum yang tertinggi dalam sistem ini adalah hukum yang pertama. Kerana itu kedaulatan hukum berada dalam al-Quran, karena di dalamnya terkandung kehendak Allah tentang tertib kehidupan manusia khususnya dan tertib alam semesta pada umumnya. 
Cita-cita politik seperti yang dijanjikan Allah kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh yang terkandung dalam al-Quran adalah Terwujudnya sebuah sistem politik, Berlakunya hukum Islam dalam masyarakat secara mantap, Terwujudnya ketentraman dalam kehidupan masyarakat. 

Nilai-nilai politik yang konstitusional yang terdapat dalam al-Quran pada dasarnya terdiri atas musyawarah, keadilan, kebebasan, persamaan, kewajiban untuk taat dan batas wewenang dan hak penguasa. 

8. 1 SYURA (bermesyuarat)
Di dalam prinsip-prinsip utama system politik Islam asas syura ialah yang paling utama. Musyawarrah dinilai sebagai lembaga yang amat penting nilainya. Penentuan kebijaksanaan pemerintah dalam sistem pemerintahan Islam haruslah didasarkan atas kesepakatan musyawarah. Kerana itu musyawarah merupakan prinsip penting dalam politik Islam. 

Asas syura yang paling utama ialah dalam pemilihan ketua Negara dan orang-orang yang layak untuk menjawat tugas-tugas utama dalam pentadbiran ummah. Asas syura yang kedua ialahberkenaan dengan penentuan cara dan jalan bagi melaksanakan undang-undang yang telah dimaktubkan di dalam al-quran dan al-sunnah. 

Asas syura yang seterusnya ialah berkenaan dengan jalan-jalan bagi menentukan perkara-perkara baru yang timbul di dalam kehidupan masyarakat yang tidak ada nas yang jelas dalam al-quran dan hadits. 

Perkara seumpama ini diselesaikan melalui proses ijtihad. Rasullullah sering mendegar pandangan para sahabat dalam mengambil sesuatu keputusan apabila berhadapan dengan suasana genting seperti menentukan bentuk dan tempat dalam peperangan seperti Badar, Khandak dan sebagainya. 

Prinsip musyawarah ini sesuai dengan ayat al-Quran Surah Ali Imran ayat 159:

Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkalah pada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa kepada Allah. 

8. 2 Keadilan 
Prinsip yang seterusnya ialah prinsip keadilan. Agama Islam menempatkan aspek keadilan pada posisi yang amat tinggi dalam sistem perundang-undangannya. Banyak sekali ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan untuk berbuat adil dalam segala aspek kehidupan manusia, seperti yang terkandung dalam surat An-Nahl ayat 90:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat. Dan Allah melarang dari perbuatan keji, munkar dan bermusuhan. Dia memberi pelajaran agar kamu mengambil pelajaran. 

Ayat tersebut diatas memerintahkan kepada umat Islam untuk berlaku adil, sebaliknya melarang dan mengancam dengan hukum bagi orang yang berbuat sewenang-wenang. Kewajiban berlaku adil dan menjauhi perbuatan zalim mempunyai tingkatan yang amat tinggi dalam struktur kehidupan manusia dalam segala aspeknya. 

Keadilan merupakan tujuan umum atau tujuan akhir dalam pemerintahan Islam. Dari segi realiti sejarah, sejarah para Khulafa ar Rashidin mencontohkan teladan nabi adalah contoh yang lengkap dan sangat hidup dalam memahami makna keadilan dan memegang prinsipnya dalam kehidupan. Keadilan merupakan asas yang sangat penting dalam seluruh perundangan, perekonomian, dan sosial. Dalam Islam, pemerintah Negara Islam mesti berlaku adil dan rakyat mesti mematuhinya. Rasullullah pernah menyebut dalam Hadisnya, bahawa 

pemimpin merupakan antara tujuh kategori yang dijanjikan oleh allah pada hari pembalasan. mereka akan mendapatkan perlindungan di bawah takhta allah apabila tiada perlindungan selain perlindungan tersebut. Manakala manusia lain akan menderita kepanasan terik matahari yang begitu hamper jaraknya. keadilan juga merupakan pelakuan dan peluang yang sama diberikan kepada semua manusia tanpa ada diskriminasi dan pengansingan

8. 3 Kebebasan
Kebebasan yang dipelihara oleh sistem politik Islam islah kebebesan yang berteraskan kepada makruf dan kebajikan. Menegakkan prinsip kebebasan yang sebenar mempunyai tujuan yang terpenting bagi system politik dan pemerintahan Islam serta menjadi satu dari asas utama bagi undang undang perlembagaan negara Islam. Kebebasan yang dianjurkan oleh Islam adalah hak milik semua makhluk di alam ini, tetapi perlu diingatkan kebebasan tersebut tidak melepasi batasan syariat Islam dan hak masyarakat lain. 

Kebebasan berfikir dan berbuat ini pernah diberikan oleh Allah kepada nabi Adam dan Hawa untuk mengikuti petunjuk yang diberikan oleh Allah. Sebagai mana berfirman:

“Turunlah kamu berdua dari surga bersama-sama sebagaimana kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain. Maka jika datang kepadamu petunjuk dariKu, lalu barang siapa yang men gikuti petunjuk dari-Ku ia tak akan tersesat dan tidak akan celaka. ”
 (Surah Taha:123)

Islam mengakui adanya kebebasan berfikir. Bahkan menjamin sepenuhnya dan dinilai sebagai ahlak dasar setiap manusia. Dalam sistem perundang-undanganya Islam juga sangat menghargai nilai-nilai kebebasan itu. Penghargaan sistem perundang-undangan Islam terhadap kebebasan itu tidak dapat dibandingkan dengan sistem lainya yang diciptakan manusia. 

8. 4 Persamaan

 Persamaan di sini bermaksud : Persamaan dalam mendapat dan menuntut hak dalam sesebuah negara. Persamaan dalam memikul tanggungjawab menurut peringkat peringkat yang ditetapkan oleh undang undang perlembagaan, dan persamaan di bawah kuatkuasa undang undang yang dijalankan di dalam sebuah negara. Tidak ada pengecualian berdasarkan pangkat, kedudukan, warna kulit, agama dan sebagainya. Islam mengajak manusia membebaskan diri daripada memperhambakan dir sesame manusia kepada memperhambakan diri kepada Tuhan Pencipta sekelian alam. Pengabdian kepada Tuhan akan terjelma di dalam kepatuhan terhadap undang undang dan ajaran agamaNya. Pemimpin pula wajib melihat rakyat sebagai satu rumpun yang perlu dijaga dan dipelihara hak mereka. Negara Islam mempunyai rakyat yang tidak mempunyai kelas dan kasta. Seluruhnya mempunyai dan peluang yang sama. Tidak ada istilah minority dan majoriti. Di zaman permulaan Islam rakyat bukan Islam lebih ramai daripada masyarakat Islam berabad abad lamanya. Tetapi mereka hidup dalam keadaan aman dan damai atas dasar persamaan yang dianjurkan oleh Islam. 

Berdasarkan prinsip persamaan ini sebenarnya tidak ada rakyat yang diperintah secara sewenang-wenang dan tidak ada penguasa yang memperbudak rakyatnya. Allah menciptakan laki-laki dan perempuan dengan berbagai bangsa dan suku bukanlah untuk membuat jarak antara mereka. Bahkan diantara mereka agar dapat saling tukar pengalaman. Al-Quran menegaskan yang membedakan diantara manusia adalah hanya karena taqwanya. Sebagaimana firman Allah:  “Hai manusia sesungguhnya kami menetapkan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling men genal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah maha men getahui lagi maha mengenal. ”   (Surah al Hujurat:13) 

Dari uraian tersebut diatas tidak disangsikan lagi kekuatan prinsip persamaan itu dalam sistem hukum Islam. Pelaksanaanya berlaku menyeluruh dalam sistem hukum dan pemerintahan Islam. Sebab sistem itu memang menjadi bagian yang integral dari ajaran Islam.  

9. Contoh-Contoh Pemimpin Islam (Khalifah) setelah kewafatan Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. 

Setelah kewafatan nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. pemerintahan negara Islam telah diambil alih oleh khulafa arrasyidin yang terdiri daripada 4 orang sahabat iaitu saidina Abu Bakar yang memerintah dari 632 masihi sehingga 634 masihi kemudian diambil alih oleh khulafa ar rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al Khattab yang memerintah dari 634 masihi sehingga 644 masihi, khulafa ar rasyidin yang seterusnya ialah Saidina Uthman Affan yang menjadi khalifah dari 644 masihi sehingga 656 masihi. Akhir sekali khulafa ar rasyidin yang terakhir ialah Saidina Ali Abi Talib yang memerintah dari 656 sehingga 661 masihi. 

 Setelah kewafatan Ali, pemerintahan telah jatuh ke tangan Muawiyah yang kemudiannya mengasaskan kerajaan bani umaiyyah. Khalifah ar rasyidin dilantik melalui syura iaitu perbincangan antara para sahabat. Semasa zaman pemerintahan setiap khalifah ar rasyidin setiap asas-asas politik Islam dan prinsip –prinsip politik Islam telah diterapkan. pelbagai perubahan dan pembangunan yang dibawa oleh para khulafa ar rasyidin, dari segi ekonomi, politik, sosialdan pelbagai lagi sehingga lah ke pembukuan al-quran yang menjadi panduan setiap umat Islam hinggalah sekarang, dan takkan berubah hingga ke hari kiamat

9. 1. Saidina Abu Bakar, 632-634M

Abu Bakar ialah anak lelaki kepada Abu Quhafah yang mana nama aslinya ialah Utsman. Panggilan Abu Bakar ini sebenarnya ialah gelaran banginya, bukan nama sebenarnya Abu bermaksud bapa manakala Bakar pula membawa maksud segera. Beliau mendapat gelaran yang sedemikian kerana beliau ialah orang yang terawal yang memeluk Islam. sejak kecil Abu Bakar terkenal dengan kejujurannya bersimat mulia dan berbudi pekerti yang mulia. Beliau berasal dari bani Ta’mim, nama sebelum Islamnya ialah Abdulka’bah kemudian Nabi memberikan nama Abdullah kepadanya setelah beliau memeluk Islam. diantara sahabat-sahabat Nabi, Abu Bakar ialah yang paling rapat dengan Baginda Rasullullahsallallahu ‘alaihi wa sallam. berikutan umur dan pekerjaan yang hamper serupa. 

 Semasa Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. sebuah majlis yang dihadiri oleh kaum muhajirin dan ansar ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin orang Islam pada masa itu. Hasil daripada perbincangan itu, Saidina Abu Bakar telah dilantik untuk menjadi khalifah yang pertama untuk memimpin umat Islam. 

Namun perlantikan Saidina Abu Bakar Mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah, antaranya golongan khawarij. Akhirnya tentangan itu tamat setelah Saidina Ali Abi Talib membaiahkan Saidina Abu Bakar. 

Sepanjang pemerintahannya banyak sumbangan yang Berjaya diraih oleh saidina Abu Bakar antaranya ialah meneruskan perjalanan tentera Usamah bin Zaid. pasukan Usamah 

Ialah pasukan yang telah dipersiapkan oleh Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. untuk menggempur barisan 

Tentera Rom di perbatasan utara. hasilnya, beliau telah Berjaya membebaskan tentera-tentera di bawah naungan Rom dan Parsi di bawah pemerintahan beliau. Tentera Islam yang waktu itu diketuai oleh panglimanya iaitu Khalid Al Walid turut Berjaya mempertahankan Madinah daripada acaman kuasa luar seperti Parsi di sebelah timur dan serangan kerajaan Byzantine (Rom Timur) di sebelah barat. 

Selain itu, beliau juga memerangi golongan murtad dan berjaya menghapuskan nabi palsu sekaligus mendaulatkan kerajaan madinah. Saidina Abu Bakar Juga telah memerangi golongan yang digelar golongan Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah musailamah Al-Kazzab, yang mana akhirnya tewas di tangan panglima tentera Islam iaitu Khalid Al Walid. 

Di samping itu, beliau juga telah mendatangkan pembaharuan dengan membahagikan tanah Arab Kepada sepuluh Wilayah dengan tujuan untuk melicinkan pentadbiran kerajaan Islam iaitu Mekah, Taif, Yaman, al jund, Bahrin, Khalwan, Jarsh, Zabid, Hadramaut dan Nijran. Dalam pemerintahannya beliau turut melantik seorang amir atau ketua untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut. 

Sumbangan terbesar beliau ialah beliau telah Berjaya mengumpulkan semula semua naskah Al-quran dan mengiktabkan mukjizat Rasullullah itu yang menjadi panduan umat Islam hingga ke hari ini. kerana beliau telah runsing dengan golongan murtad dan nabi palsu yang mula merosakkan akidah umat Islam. 

9. 2. Saidina Umar Al Khattab, 634-644 M

Saidina Umar bin al-Khattab telah mendapat hidayat Islam pada tahun ke-6 kenabian ketika berumur 39 tahun. Beliau memeluk Islam setelah mendengar adik perempuannya membaca ayat-ayat al-Quran. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam juga pernah berdoa: Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar. Sebuah hadis daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : Apabila Umar memeluk Islam, Jibrail pun datang dan berkata : Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan Islamnya Umar. 

Semasa pemerintahan Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; orang Islam menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada di antara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40, 000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120, 000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil. 

Pada tahun 637 Masihi, selepas pengepungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Patriarch Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak berapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat. 

Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. 

Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana. 

Antara pembaharuan dalam bidang pentadbiran yang dibawa oleh saidaina Umar ialah membentuk majlis Syura yang terdiri daripada Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Tsabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas dan Mu’az bin Jabal. Majlis syura ini ialah lembaga atau majlis perundangan yang tertinggi yang terbahagi kepada dua iaitu majlis syura tertinggi dan majlis syura Am. 

9. 3. Saidina Uthman Bin Affan, 644-656 M

Saidina Uthman dilahirkan di dalam sebuah keluarga Quraish yang kaya di Makkah beberapa tahun selepas kelahiran Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. . Dia ialah salah seorang daripada orang yang pertama sekali memeluk Islam dan amat dikenali kerana sifat dermawannya kepada orang yang susah. Beliau juga berhijrah ke Habshah dan kemudian penghijrahan dari Mekkah ke Madinah. 

Saidina Uthman menjadi khalifah selepas Saidina Umar Al-Khattab dibunuh pada tahun 644. Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara, dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Uthman melantik saudaranya sebagai pentadbir jajahan baru Islam. Enam tahun pertama pemerintahannya dianggap aman manakala enam tahun terakhir pula dianggap keadaan huru-hara. Beliau berjaya menyatukan mushaf Al-Quran yang berbeza-beza kepada satu mushaf mengikut susunan mushaf yang dikumpulkan oleh Abu Bakar. Hingga hari ini, kita gunakan Mushaf Uthmani. seorang sahabat nabi dermawan. semasa di madinah membeli telaga air dari yahudi dan mewaqafkan ianya untuk keperluan masyarakat Islam. 

Antara sumbangan uthman bin affan sepanjang pemerintahan beliau terbahagi kepada segi politik, ekonomi dan sosial. dari segi politik beliau telah menubuhkan angkatan tentera laut. dari segi ekonomi pula beliau telah mengukuhkan peranan baitulmal. dari segi social pula beliau telah menunjukkan ciri pemimpin yang lemah lembut, bertolak ansur, dermawan dan sikap simpati yang tinggi terhadap golongan yang memerlukan. 

9. 4. Saidina Ali Bin Abi Talib, 656-661M

Sayyidina Ali dilahirkan di Makkah pada tahun 601. Bapa Sayyidina Ali, Abu Talib ialah pembesar puak Quraisy dan juga bapa saudara kepada Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. . Semasa Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. menerima wahyu daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sayyidina Ali merupakan kanak-kanak yang pertama memeluk Islam. Sayyidina Ali sentiasa menyokong Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. semasa kezaliman terhadap orang Muslim berlaku. Pada tahun 622 Masihi, semasa peristiwa hijrah berlaku, Saidina Ali mengambil risiko dengan tidur di katil Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. lantas berjaya mengelakkan satu percubaan membunuh baginda. Ali sendiri berhijrah beberapa tahun selepas itu. 

Selepas wafatnya Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. pada tahun 632 masihi, Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah pertama umat Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Ali terus menerima Saidina Abu Bakar sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sekali gus menafikan fitnah yang dilontarkan oleh kaum Syiah. Ahli Sunah Waljamaah percaya perlantikan Saidina Abu Bakar merupakan sesuatu yang tepat sekali mengikut syariat Allah dan Rasulullah . Malah Saiyidina Ali menjadi salah seorang tentera Islam di bawah pemerintahan Saiyidina Abu Bakar untuk memerangi kaum yang murtad dan tidak mahu membayar zakat. Golongan Syiah pula percaya memandangkan Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. maka beliaulah yang seharusnya dilantik menjadi khalifah. 

Pada tahun 656 masihi, khalifah ketiga Islam iaitu Saidina Uthman bin Affan wafat kerana dibunuh oleh puak pemberontak di dalam rumahnya sendiri. Pemberontakan mereka atas sebab tidak puas hati dengan Saidina Uthman yang dikatakan mengamalkan nepotisme dan menggunakan harta baitul mal untuk keluarganya. Atas keputusan ahli Syura mencadangkan Saidina Ali supaya menjadi khalifah tetapi Saidina Ali menolak. Tetapi selepas didesak, beliau akhirnya menerima untuk menjadi khalifah. 

Perkara pertama beliau lakukan selepas dilantik menjadi khalifah ialah mencari pembunuh saidina Uthman mengikut saluran undang-undang Islam. dengan menghapuskan pemberontakan yang hendak dibuat oleh golongan Rafidhah yang menghasut para sahabat. Isteri Rasulullah  iaitu Ummul Mukminin Saidatina Aisyah, dan dua orang sahabat Nabi iaitu Talhah ibn Ubaidillah dan Zubair ibn Awwam telah terlibat sama. Pemberontakan itu berjaya ditumpaskan oleh Saidina Ali dalam Perang Jamal (juga dikenali sebagai Perang Unta). Dalam peperangan ini, Talhah dan Zubair terkorban akibat dibunuh oleh golongan Rafidhah yang mengaku sebagai pengikut Saidina Ali. Manakala Saidatina Aisyah dikembalikan ke Madinah oleh Saidina Ali. Beliau menjalankan satu misi dengan mengarahkan 100 orang wanita menyamar lelaki dan menutup muka, lalu menarik unta Ummul Mukminin Aisyah kembali ke Madinah. 

10. Kesimpulan

Perbincangan secara terperinci berkaitan pemikiran Islam dalam politik dan pemerintahan yang berlegar di sekeliling ummah sebenarnya mencerminkan ummah itu sendiri. perbandingan yang jelas aspek-aspek yangdibincangkan itu berdasarkan zaman yang berlaku amat tepat. ini kerana wahana kehidupan umat Islam mestilah diambil dari kacamata Islam dan dari sumber yang tentunya sahih dan diiktiraf. Kegagalan manusia menjadikan Islam sebagai cerminan dalam lapangan kehidupan mengakibatkan kecelaruan dan ketidakpuasan hati yang berterusan. bayangkan, teori penyelesaian yang dibawa masuk untuk dihidangkan kepada umat Islam diambil dari tong dan bongkah yang amat jauh bezanya dari sumber dan praktik Islam. Akhirnya penyelesaian yang diharapkan semakin jauh. Maka lahirlah anak muda Islam yang mengakui bahawa budaya dan ideology barat itu adalah segalanya. perzinaan dan seks bebas sudah berleluasa, pengambilan arak dan dadah sudah membudayadalam masyarakat kita. Manakala amal makruf nahi mungkar sudah janggal untuk dipertahankan, maka timbullah keakuan dan ego yang bermaharaja lela. 

Justeru itu, keinginan untuk kembali kepadaasal fitrah leluhur manusia perlu dipergerakkan. kefahaman tentang pemikiran dan gaya hidup yanag sejajar dengan ajaran agama amatlah perlu untuk memastikan survival ummah sentiasa merujuk kepada yang asal yakni untuk mencapai keredaan Allahsubhanahu wa ta’ala. 
Rujukan
Harun Din, (1998). Manusia dan Islam. Selangor : Percetakan WATAN Sdn. Bhd. 
Muhammad Abdul Rauf, (1998). Ummah Negara Islam. Kuala Lumpur : DBP
Salahudin Ayub, (2003) Himpunan Risalah Hassan Al - Banna, Kuala Lumpur : Prospecta Printers Sdn. Bhd. 
Universiti Malaya, (2001). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur : Universiti Malaya
Zulkifli Dahalan, (2009). Sejarah Pemikiran Tamadun Islam. Selangor : Straights Digital Sdn. Bhd. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)