Asas Tamadun Islam


1. AKIDAH
Setiap bangsa yang wujud di dunia ini mempunyai sejarah dan aliran pembangunannya yang tersendiri. Pembangunan yang berlaku dalam bangsa tersebut mencipta sejarah baharu kepada ketamadunan manusia. Hasil pencapaian tamadun itu pula menjadi contoh dan model terbaik untuk membangunkan tamadun bangsa yang lain. Oleh itu, pencapaian tamadun yang gemilang akan mengambil kira unsur- unsur yang berpaksikan naluri keinsanan yang hakiki. 

Tamadun Islam bangkit dengan kekuatannya yang tersendiri. Oleh kerana kebangkitannya di atas lunas-lunas ajaran agama, maka ia kan berkait rapat dengan matlamat pensyariatan Islam itu sendiri. Selain itu juga, tamadun Islam adalah tamadun yang bermatlamatkan mencari keredaaan Allah subhanahu wa ta’ala. Justeru, ia mempunyai asas yang kukuh untuk membentuk pembangunan yang seimbang di antara kerohanian dan kebendaan di samping memberi kebaikan kepada manusia sejagat. Oleh itu, tamadun Islam bangkit berdasarkan beberapa asas yang kukuh, antaranya ialah akidah. 

Akidah merupakan konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah subhanahu wa ta’ala, para rasul, malaikat, kitab, hari akhirat dan Qada’ dan Qadar. Keyakinan kepada konsep tauhid kepada Allah memberi kesan dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh, Zaman Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan zaman kegemilangan tamadun Islam samada dalam aspek politik pentadbiran dan ekonomi. Misalnya, umat Islam pada waktu itu telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang kukuh di kota Madinah berasaskan akidah. Akidah yang mantap membentuk sistem nilai yang menjadi asas ketamadunan itu sendiri. Sistem nilai yang dimaksudkan di sini ialah suatu sistem yang mengawal sifat dan bentuk ketamadunan itu sendiri. Tambahan pula, ia juga dapat membentuk pemikiran maju dengan mengikis unsur-unsur yang membekukan seperti khurafat dan tahyul. Oleh hal yang demikian, adalah terbukti bahawa tauhid dapat membawa manusia kepada kemajuan. 

Al-Faruqi (1982) menyatakan: “ Tauhidlah yang memberikan acuan, jati diri dan ciri tersendiri kepada tamadun Islam. Ia menyatukan seluruh komponen, lalu menjadikannya suatu kesatuan organik yang bersepadu, harmonis dan saling memperkuat. Itulah yang dinamakan tamadun. ” 

Kedatangan Islam sebagai agama dan tamadun adalah dengan tujuan untuk dijadikan petunjuk dan pengajaran oleh manusia di dunia ini. Bertitik tolak daripada hakikat ini, Islam menuntut umatnya agar memperkenalkan prinsip-prinsip ajaran Islam yang baik kepada manusia. 

Pada masa yang sama, Islam turut memperakui prinsip “ tidak ada paksaan dalamberagama” (surah al- Baqarah : 256 ). Walaupun orang bukan Islam tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam berdasarkan prinsip tersebut, namun Islam tetap mempertahankan kesahihan akidah Islam yang dipegang oleh penganutnya. Sebagai contoh, apabila seseorang itu telah memeluk Islam dengan melafazkan ucapan dua kalimah syahadah, secara automatiknya dia hendaklah beriman sepenuhnya kepada rukun-rukun iman yang enam dan dia hendaklah membuktikan keimanannya menerusi kesediaan untuk beriltizam mengamalkan segala tuntutan syariah dan akhlak Islam secara keseluruhannya tanpa bersikap selektif atau hanya menerima aspek-aspek yang menepati cita rasanya sahaja. Di sinilah gambarannya tentang kehebatan akidah yang berperanan luas dalam kehidupan manusia. 

Selain itu, akidah Islam tidak memisahkan ilmu pengetahuan dengan agama, juga tidak memisahkan manusia dengan akal mereka. Tambahan pula, akidah Islam tidak berbentuk penguasaan perasaan-perasaan manusia yang pelbagai dengan menyampingkan keperluan jasmaniah, ia juga tidak mengutamakan peribadi dengan meremehkan masyarakat, bahkan akidah Islam itulah yang mendakap seluruh kehidupan dan segala keperluan hidup manusia ini. (Said Qutb, 1982). Justeru itu dalam konteks pembangunan sesebuah tamadun, keutuhan akidah dan kepercayaan yang tulus hanya kepada Allah subhanahu wa ta’ala sahaja yang dapat memperkasakan sesebuah tamadun tersebut seterusnya menukilkan kembali kegemilangan tamadun yang dibina oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam di Madinah pada lebih 1432 H yang lalu. 

Selain itu juga, akidah ialah keimanan kepada nilai-nilai yang mutlak dan hakiki sebagaimana yang diwajibkan oleh Islam. Ia terikat kukuh dalam sanubari seseorang, membuahkan sikap, pandangan, perilaku dan perkataan yang menepati syariat, tidak mungkin terurai oleh sebarang paksaan, perubahan suasana dan keadaan. (Mohd Sulaiman, 1984)

Tambahan pula, akidah dalam bahasa yang mudah difahami ialah kepercayaan serta keyakinan yang jazam atau kukuh kepada Alah subhanahu wa ta’ala yang Esa, tanpa mempunyai sebarang syak atau ragu. Bukti tiada sebarang syak atau ragu ini dapat dilihat daripada kepatuhan seseorang dalam melaksanakan apa jua yang telah diikrarkan dalam pengakuan dua kalimah syahadah – la ilaha illallah Muhammad Rasulullah . ( Ramli Awang, 2005). 

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bermaksud :  “Islam dibina di atas lima perkara iaitu menyembah Allah dan mengkafir yang lainNya, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah. ” (Riwayat Muslim) 

Firman Allah subhanahu wa ta’ala bermaksud :  “ Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percayakan kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan RasulNya, kemudian mereka ( terus percaya dengan tidak ragu-ragu lagi), serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar. ”  ( al-Hujurat, 49 :15)

Keunggulan sesuatu tamadun dan keutuhannya adalah bergantung kepada sejauh mana berpegangnya sesuatu umat kepada akidah yang benar, iman yang ikhlas dan juga amalan salih yang menepati kehendak syariat Allah subhanahu wa ta’ala. 

Akidah juga boleh menjadi pendorong kepada muslim untuk terus melakukan amal ibadah dan berusaha dengan lebih gigih dalam bidang kehidupan untuk mencipta kemajuan dalam pelbagai bidang. Sejarah telah membuktikan bahawa kecemerlangan sarjana Islam dahulu adalah disebabkan oleh kekuatan akidah dan kesungguhan mereka di dalam bidang yang diceburi. Hanya dengan kemantapan akidah sahajalah tamadun Islam yang diredai Allah dapat diwujudkan. 

Firman Allah subhanahu wa ta’ala bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman rukuk serta sujudlah (mengerjakan solat), beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).  (al-Hajj, 22:77)

Akidah merupakan asas kelahiran Tamadun Islam. Tamadun Islam yang wujud pada hari ini ialah berdasarkan tauhid. Hassan al-Banna mengatakan Akidah adalah hal-hal yang berhubung dengan kepercayaan. Beliau turut mendefinisikan akidah sebagai keyakinan di dalam hati seseorang kepada Allah sebagai Maha Pencipta. Selain itu, akidah juga dapat diterjemahkan apabila keyakinan hatinya menyebabkan hati dan jiwanya menjadi tenteram. 
Akidah juga merupakan intisari kepada pembentukan tamadun Islam yang wujud pada hari ini. Intisari ini meliputi enam rukun iman yang wajib diimani oleh seseorang yang beragama Islam. Pertama, beriman kepada Allah subhanahu wa ta’ala merupakan asas seseorang itu layak digelar sebagai orang mukmin. Sebagai contoh, seseorang itu wajib menyakini dengan sepenuhnya bahawa Allah subhanahu wa ta’ala yang telah menciptakan segala alam ini dan Dialah yang mentadbir sekalian alam ni mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan-Nya. 

Kedua, seseorang itu wajib beriman kepada malaikat yang merupakan perkara kedua yang telah dinyatakan dalam rukun iman. Beriman kepada malaikat bermaksud mengakui tentang kewujudan Malaikat yang hidup di dalam alam ini. Malaikat juga tidak boleh disamakan dengan manusia dan makhluk lain kerana malaikat tidak mempunyai nafsu syahwat, tidak mempunyai jantina dan sentiasa menunaikan perintah Allah subhanahu wa ta’ala. 

Ketiga, beriman kepada rasul merupakan salah satu rukun iman yang wajib dipercayai oleh setiap mukmin. Sebagai contoh, seseorang itu wajib mempercayai 25 orang rasul yang telah diamanahkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala untuk menyampaikan risalah kebenaran kepada seluruh umat manausia yang hidup dia atas muka bumi ini. 

Keempat, rukun iman yang wajib dipercayai oleh setiap mukmin ialah beriman kepada kitab. Allah subhanahu wa ta’ala telah menurunkan beberapa kitab kepada rasul-rasul tertentu untuk memberi peringatan kepada seluruh umat manusia. Misalnya, Nabi Musa telah menerima kitab Taurat, Nabi Daud telah menerima kitab Zabur, Nabi Isa telah menerima kitab Injil dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam Telah menerima Kitab Al-Quran. 

Beriman kepada hari akhirat merupakan rukun iman yang kelima yang wajib dipercayai. Dunia yang didiami oleh manusia pada hari ini akan musnah juga pada suatu hari nanti disebabkan akan berlakunya hari kiamat. Hal ini telah diceritakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala di dalam Al-Quran dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam juga diutuskan untuk mengingatkan manusia tentang hari akhirat. 

Akhir sekali, beriman kepada qadar dan qadar merupakan ciri rukun iman yang wajib dipegangi oleh seluruh manusia. Qada bermaksud segala ketentuan Allah yang telah ditetapkan-Nya manakala Qadar merupakan masa bila berlakunya Qada itu. Oleh itu, seseorang itu wajib memegang semua rukun iman di atas supaya wujudnya sebuah tamadun yang meletakkan agama sebagai asas yang tertinggi untuk membentuk masyarakat yang madani. 

CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM

Dalam tamadun Islam, terdapat beberapa ciri keistimewaan yang mungkin mempunyai persamaan dengan tamadun lain. Namun yang paling istimewa ialah tamadun Islam yang bersifat rabbani iaitu mempunyai sifat ketuhanan yang tertinggi. Keistimewaan ini tidak wujud dalam mana-mana tamadun yang ada sebelum kedatangan tamadun Islam mahupun selepas kedatangan tamadun Islam. 

Ciri-ciri khusus itu telah memberi kekuatan yang tersendiri kepada tamadun Islam sehingga berjaya menandingi tamadun-tamadun asing yang ada pada masa itu. Misalnya, kekuasaan tamadun Rom dan Parsi yang mendominasi dunia pada masa itu telah tenggelam dengan kemunculan tamadun Islam. Oleh sebab itu, tamadun ini mampu bertahan lam adan menjadi model terbaik kepada masyarakat Islam yang bernaung di bawahnya. (Fairuzah Hj. Basri. 2008)

Antara ciri-ciri tersendiri tamadun Islam yang boleh dihuraikan di sini ialah :

SEJAGAT
Untuk membina sebuah tamadun yang unggul di dunia, Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu atau tempat sesuatu, sebaliknya kepada seluruh umat manusia. Tamadun Islam dapat dilihat di mana-mana kawasan di seluruh dunia ini tanpa dibatasi sama ada oleh batasan politik, budaya, bangsa mahupun sempadan geografi moden. Hal ini menjelaskan bahawasanya tamadun Islam dapat dipraktikkan dalam mana-mana Negara di dunia ini bagi melahirkan Negara yang bermaruah dan lebih dihormati di mata dunia. 

Populasi umat Islam pada zaman kotemporari ini berjumlah 1. 57 billion. Ia dikira dari Afrika Barat dan Eropah Tenggara sehinggalah ke Nusantara, yang dikenal sebagai Dunia Islam (Islamic World), iaitu wilayah-wilayah yang penduduknya majoriti beragama Islam. 

Dari Barat sehinggalah ke Timur, mulai dari Afrika: Morako (31, 993, 000 orang), Al (34, 199, 000 orang), Mauritania (3, 261, 000 orang), Senegal (12, 028, 000 orang), Gambia, Guinea, Sierra Leone, Pantai Gading, Mali (12, 040, 000 orang), Burkina Faso, Niger (15, 075, 000 orang), Nigeria, (78, 056, 000 orang), Chad, Tunisia, Libya (6, 203, 000 orang), Mesir (78, 513, 000 orang), Sudan (30, 121, 000 orang), Eritrea (1, 854, 000 orang), Ethiopia (28, 063, 000 orang), Djibuti (838, 000 orang), Somalia, Zanzibar, dan Komoro. Manakala jumlahnya dari Eropah Tenggara: Bosnia-Herzegovina (1, 522, 000 orang), Albania (2, 522, 000 orang), Kosovo ( 1, 999, 000 orang), Azerbaijan (8, 765, 00 orang), Abkhazia, Kabardino-Balkaria, Ossetia, Ingushtia, Chechenia, Dagestan, Astrakhan, Samara, Chuvashiya, Tatarstan, dan Bashkortostan. Kemudian ke Asia: Turki (73, 619, 000 orang), Syria (20, 196, 000 orang), Lubnan ( 2, 504, 000 orang), Palestin (94, 173, 000 orang), Arab Saudi (24, 949, 00 orang), Yaman (23, 363, 000 orang), Oman (2, 494, 000 orang), Persatuan Emirat Arab (3, 504, 000 orang), Qatar (1, 092, 000 orang), Bahrain (642, 000 orang), Kuwait (2, 824, 000 orang), Iraq (30, 428, 000 orang), Iran (73, 777, 000 orang), Pakistan (174, 082, 000 orang), Afghanistan (28, 072, 000 orang), Turkmenistan (4, 757, 000 orang), Uzbekistan (26, 469, 000 orang), Kazakhstan (8, 822, 000 orang), Kirgizstan (4, 734, 000 orang orang), Tajikistan (5, 848, 000 orang), Xinjian-Uighur, Gangsu-Ningxia, Kashmir, Bangladesh (145, 312, 000 orang), Maladewa, Rohingya, Patani (3, 930, 000 orang), Malaysia (16, 581, 000 orang), Brunei (269, 000 orang). Mindanao (4, 654, 000 orang), dan Indonesia (202, 867, 000 orang). Itulah dunia Islam yang terbentang dari Afrika Barat sampai Alam Melayu. Fakta –fakta ini merupakan agama sejagat dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat dunia tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan, Negara dan sebagainya. 

TERBUKA 
Keterbukaan bermakna tamadun Islam yang dilahirkan dan dicipta itu tidak dibatasi oleh had-had tertentu tetapi ia masih diletakkan di atas garis panduan syariat Islam yang tetap dan berkembang selaras dengan perubahan masa. Tamadun Islam terbuka kepada semua tamadun yang tidak bercanggah dengan syariat Islam terutamanya dalam dialog antara tamadun atau interaksi antara tamadun. Keterbukaan ini menunjukkan wujudnya sifat toleransi dan tolak ansur bagi kepentingan bersama. 

Kewujudan tamadun-tamadun asing menguatkan lagi tamadun Islam itu sendiri. Islam tidaklah rigid dengan ilmu-ilmu dan peradaban yang wujud dalam kalangan bangsa-bangsa lain atau kemajuan yang dihasilkan oleh tamadun yang luar dari tamadun Islam. Bahkan Islam membolehkan penganutnya mempelajari ilmu-ilmu dan kemajuan yang dicapai oleh tamadun-tamadun tersebut. Islam juga tidak menolak sumber-sumber yang datang daripada tamadun lain yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Islam bersifat terbuka pada semua tamadun, dan tidak menolak kebaikan yang dihasilkan oleh tamadun-tamadun lain. Hal ini dapat dilihat dengan jelas misalnya apabila Islam datang ke masyarakat Arab, mereka dapat menerima nilai-nilai baik masyarakat yang tidak bercanggah dengan syariatnya. 

Bertepatan dengan itu, Mohd Nasir dan Muhammad Azizan (2013) dalam tulisannya ada menyebut tentang pandangan Islam terhadap ketamadunan Barat. Hikmah (ilmu dan kebenaran) adalah keciciran umat Islam, sesiapa yang menjumpainya, maka ia berhak memilikinya, tidak kiralah ia datangnya dari Barat, Timur dan sebagainya. Oleh itu, tidak semua yang datang dari Barat itu buruk sifatnya manakala yang datang daripada Timur adalah sebaliknya. Bahkan wajib meninggalkan setiap yang dicela dalam Al-Quran walaupun dari Timur atau Barat. 

Umat Islam mengambil peninggalan tamadun-tamadun terdahulu seperti taamdun Greek, Parsi, India dan China sebagai salah satu sumber tamadunnya. Warisan tamadun Greek menjadi sumber tamadun Islam apabila karya-karya saintifik daripada tamadun ini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan digunakan oleh masyarakat dalam tamadun Islam. Antara buku yang diterjemahkan ialah Megale Syntaxiz Mathematike, Talulae Manuals, Hypotheses Planetarum, Planispherium, Tetrabiblos, Historia Animalium, Timaeos dan De Theriacca Ad Pisonem. Selain itu, warisan tamadun Greek menjadi perhatian tamadun Islam selepas tentera Islam pimpinan Amru Ibn al-‘As berjaya membuka kota Alexandria di Mesir pada 641 M. Sebelum itu, kota tersebut merupakan pusat berkembangnya pemikiran dan falsafah Greek. 

Sumbangan Tamadun India kepada tamadun Islam berlaku menerusi pengaliran masuk tradisi saintifiknya terutama bidang matematik, astronomi dan perubatan. Penerapan ini berlaku melalui kerajaan Sasan di Parsi dan kehadiran para ilmuannya ke pusat-pusat keintelektualan Islam atas jemputan para khalifah. Warisan intelektual India banyak tertuang dalam penulisan tokoh-tokoh Islam seperti Al-Biruni dalam abad ke-5H/11M dan selepas itu karya Amir Khusraw. Antara teks asas astronomi India yang diterjemah ialah Brahmasputasiddhanta oleh Brahmagupta dan beberapa karya perubatan khususnya yang berkaitan dadah dan racun. 

Tamadun Islam turut menerima warisan tamadun Parsi apabila memindahkan banyak bidang sains. Semasa pemerintahan kerajaan Sasan, Jundishapur dijadikan pusat pengajian yang mengumpulkan ramai para cendekiawan. Selepas kejatuhan Susan, ia muncul sebagai pusat intelektual terpenting di Asia Barat, terutama dalam bidang perubatan. Pusat pengajian di sana juga memainkan beberapa peranan; pertama, sebagai penghubung antara sains Islam dengan tamadun lama dunia. Kedua, sebahagian warisan Greek yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Pahlavi dan Syiria diajar di sana dan ketiga, memindahkan sains India khususnya perubatan, astronomi dan sejarah ke dalam tamadun Islam. Selain bidang perubatan, orang Parsi juga menekuni bidang astronomi dan farmakologi serta menghasilkan penemuan-penemuan penting dalam bidang tersebut. Antara karya saintifik Parsi yang dipindahkan ke taamdun Islam ialah Royal Astronomical Tables (zij-I shahriyar). Karya di bidang sejarah ialah Klilah wa Dimnah yang diterjemah daripada bahasa Sanskrit ke bahasa Pahlavi dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab oleh Ibn al-Muqaffa’. Buku ini kemudiannya menjadi karya agung dalam kesusasteraan Arab dan sumber sejarah tabie kepada orang Islam. 

Warisan tamadun Cina pula muncul selepas serangan kaum Tatar ke atas tamadun Islam di Baghdad. Teknologi China dibawa ke tamadun Islam dan dari sana diperkenalkan ke dunia Eropah. Teknologi membuat kertas merupakan contoh paling menonjol kerana tawanan Cina telah mengajar orang Arab mengenainya. Teknologi ini disebarkan dari Samarkand le Baghdad dan Damascus, ke Mesir dan Morocco dan akhirnya ke Andalusia (Sepanyol) pada kurun ke-10 M. Empat ciptaan agung Cina yang penting, iaitu penghasilan kertas, kompas, bahan letupan dan percetakan juga diperkenalkan ke tamadun Islam dan seterusnya ke Eropah. (Zulkifli Dahalan, 2006)

Jelaslah bahawa Islam tidak menyekat kemajuan yang dibawa oleh taamdun-tamadun asing. Bahkan Islam menyarankan agar segala ilmu atau hikmah yang bergemerlapan di serata dunia itu dikongsi untuk pembangunan kemanusiaan generasi seterusnya. Hikmah atau kebijaksanaan itu adalah peninggalan tamadun umat Islam, ambillah di mana sahaja ia berada. Dalam era globalisasi kini, maka pencarian ilmu oleh sebahagian pelajar Malaysia ke Jepun, Amerika, Rusia dan sebagainya dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan adalah wajar disebabkan perkongsian ilmu dan keuniversalan taamdun itu yang dikongsi bersama. 

SEPANJANG ZAMAN 
Tamadun Islam mula terbentuk dengan penurunan wahyu pertama, iaitu Surah Al-'Alaq kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam pada tahun 610 M dan tidak pernah berhenti sehingga sekarang kerana ia tidak dibatasi oleh ruang sempadan atau ruang waktu sehingga hari kiamat. Dahulunya, tamadun Islam hanya wujud dii tempat terpencil di kawasan padang pasir yang panas dan kontang. Tamadun ini muncul di sebuah kawasan iaitu Hijaz yang di dalamnya terdapat tiga buah kota utama, iaitu Mekah, Madinah dan Taif. Tamadun ini diluaskan pada zaman Khulafa Ar-Rsyidin dan disambung oleh kerajaan Bani Umaiyah, kerajaan Bani Abbasiyah, dan kerajaan Turki Uthmaniyah. Agama Islam juga akan terus berkekalan tanpa boleh diubah oleh apa-apa unsur sekalipun. Walaupun Islam telah diturunkan oleh Allah ribuan tahun yang lalu, ia akan sentiasa terpelihara dan terus menjadi panduan kepada seluruh umat manusia. 

ASAS TAMADUN ISLAM 

AKHLAK 
Menurut rujukan akhlak adalah keperibadian atau sikap yang dimiliki atau sedia ada dalam jasad seseorang dan melalui sikap, seseorang akan melakukan sesuatu perbuatan dengan senang dan tidak memerlukan masa untuk berfikir atau membuat pertimbangan sebelum melakukan setiap perbuatan. ( Mohd Asri et. al, 2006 )

Dalam rujukan lain, saya memahami bahawa akhlak adalah cara bersosial antara masyarakat. Akhlak dalam Islam pula bererti cara bersosial dengan masyarakat bersesuaian dengan syariat Islam itu sendiri. Apabila jiwa seseorang itu berkeadaan baik dan dia melakukan sesuatu perkara baik dan disenangi oleh orang ramai dan Allah subhanahu wa ta’ala, berpandukan akal yang waras dan syariah, perbuatan itu adalah dikelaskan dalam kategori akhlak baik. Manakala, jika jiwa seseorang itu berkeadaan tidak tenang dan dari itu tercetusnya perbuatan perbuatan yang mengganggu ketenangan orang lain dan mendapat ke muarkaan dari Allah subhanahu wa ta’ala, maka perbuatan sejenis itu kekelaskan dalam akhlak buruk. ( Mohd Asri et. al, 2006 )

Dalam pengkelasan dan kategori akhlak, terdapat dua jenis akhlak iaitu, akhlak mahmudah dan akhlak mazmumah. 

Akhlak mahmudah, dalam beberapa kamus dan ensiklopedia, perkataan “baik” bererti perkara yang mencapai kesempurnaan dan membuahkan perasaan yang senang, tenang dan sesuai dengan keadaan dan persekitaran. Sesuatu yang boleh dikelaskan sebagai perbuatan baik juga bilamana ia mendatangkan kerahmatan dari Allah subhanahu wa ta’ala, ianya mempunyai nilai kebenaran dan kebahagian yang menjadikan seseorang itu lebih positif dalam mengendalikan kerja buatnya. ( Prof. Dr. Hamka, 1980 )

Oleh itu, akhlak mahmudah atau akhlakul karimah boleh diberi makna kelakuan yang terpuji yang menjadi tanda kepada kesempurnaan iman iaitu taqwa seseorang hamba manusia kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Manusia yang disenangi oleh masyarakat ketika bergaul disebabkan dia mempunyai akhlak yang terpuji seperti dermawan, pandai mengambil hati, suka tolong menolong, menghargai orang disekelilingnya dan banyak lagi. ( Prof. Dr. Hamka, 1980 )

Akhlak buruk pula boleh dikelaskan dalam kumpulan akhlak mazmumah. Akhlak mazmumah ini adalah apa-apa perbuatan atau perangai sesorang yang tidak disukai orang disekelingnya. Tingkah lakunya yang dizahirkan itu lebih kepada perkara yang tidak disenangi oleh orang lain. Dalam rujukan kamus, perkataan buruk boleh dijelaskan lagi dengan perbuatan yang tidak sopan, tidak menyenangkan, kurang ajar, keji dan sebagainya. Antara contoh akhlak mazmumah ini adalah hasad dengki, cemburu, sombong dan angkuh serta riya’. ( Prof. Dr. Hamka, 1980 )

Rangkuman untuk jenis atau kategori akhlak ini adalah akhlak pada pandangan Islam adalah bukan satu teori atau ciptaan semata mata, akhlak di sisi Islam merangkumi sikap dalaman manusia iaitu rohaniah dalam memuliakan Allah subhanahu wa ta’ala, bahkan tindak tanduk nya perlulah untuk memuliakan dirinya sendiri dan makhluk lain, sama ada sesama manusia atau haiwan, tumbuhan dan makhluk ghaib sekalian. Ini adalah bersesuaian dengan perintah dan larangan oleh wahyu Allah subhanahu wa ta’ala, Al-Quran dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. 

Firman Allah subhanahu wa ta’ala yang maksudnya berbunyi: Siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedangkan dia pula mengerjakaan kebaikan. ( al-Nisa ; 4: 125 ) 

Dari firman tersebut, Allah memberitahu seseorang yang baik, iaitu seseorang yang berjaya dalam agamanya adalah orang yang sentiasa menjaga hatinya untuk sentiasa ikhlas dalam setiap tingkah lakunya. Demikian orang yang menyerahkan dirinya, iaitu orang yang sentiasa melakukan perbuatan baik dan menjauhi perbuatan mungkar, ikhlas kerana Allah subhanahu wa ta’ala. Mereka adalah sedang melakukan amal ibadat. Bagi Allah setiap hambaNya yang berusaha ke arah kebaikan dan sentiasa mengelakkan diri dari melakukan perbuatan yang dimurkaiNya adalah satu ibadah. 

Dalam konteks kemasyarakatan, kita juga perlu berbuat baik kepada sesiapa sahaja. Tanpa mengira usia dan agama. Sebaiknya, kita memulakan perbuatan baik kita kepada kedua orang tua kita. Ibu bapa kita yang telah membesarkan kita, sentiasa memberi sokongan disaat kita gagal. Oleh hal demikian, kita perlu berakhlak baik kepada kedua ibu bapa kita. 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam juga menyarankan kita supaya berkelakuan baik dengan kedua ibu bapa, dalam sabda baginda bermaksud: Dari Abdulah ra katanya: saya bertanya kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam apakah amalan yang disukai oleh Allah subhanahu wa ta’ala? Lalu baginda nabi menjawab: solat diawal waktu. Kemudian Abdullah bertanya lagi, kemudian itu apa? Jawab baginda nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam: berbuat baik iaitu berbakti kepada orang tua mu. Tanya Abdullah lagi, kemudia apa? Baginda pun menjawab: berjuang di jalan Allah subhanahu wa ta’ala. 

Dalam bermasyarakat, terdapat akhlak akhlak yang wajar dipraktikkan oleh seorang Muslim, seperti menanam di dalam hati hati mereka dengan niat yan baik. Niat adalah tingkah laku utama sebelum apa-apa perbuatan dilakukkan. Jika kita ingin hidup bermasyarakat, kita hendaklah berniat baik antara satu sama lain demi memastikan ketenangan hidup bersama. Terdapat sekelompok masyarakat yang suka membenci orang lain tanpa seba yang munasabah menyebabkan perbuatan mereka lebih kepada untuk menyakiti antara satu sama lain. 

Bukan itu sahaja, kita juga perlu memiliki hati yang bersih dari permasalahan atau perasaan yang negatif. Hidup bermasyarakat tidak terlepas dari masalah masalah yang dihadirkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala untuk menguji hamba-hambaNya. Untuk menghadapi ujian itu, ahli masyarakat hendaklah bersatu hati dan saling berprasangka baik sesama mereka. Bukan mewujudkan perasan benci dan ingin berkelahi, bertengkar yang hanya akan merugikan diri sendiri. 

Selain daripada itu, dalam hidup bermaysrakat, kita perlu menjaga pertuturan kita. Sentiasa berkomunikasi dengan harmoni kerana komunikasi penting demi menjadikan ahli masyarakat sentiasa bersefahaman dan komunikasi juga dapat mengelakkan salah faham. Apa yang penting, cara percakapan itu mestilah bijak dan berwaspada. 

Bijak bererti, kita perlu berfikir dahulu sebelum meluahkan idea atau pandangan kita. Bersoal jawab terlebih dahulu dengan dirisendri sebelum mengemukaan pendapat kita dikhalayak ramai. Berwaspada pula bererti, kita perlulah berhati hati dalam mengeluarkan pandangan, walaupun pandangan kita betul, tidak mestinya kita boleh menyakiti perasaan orang lain, sebagai contoh sekiranya seseorangg itu memberikan idea yang kurang baik, jangan kita memerlinya, malahan kita perlu mempertahankan dia dengan pandangan kita yang lebih baik, bertujuan untuk membaiki kesalahan dan menutup aib nya. 

Akhir sekali, akhlak dalam bermasyarakat ialah kita perlu berperilaku baik terdapat orang disekeliling kita. Orang di sekeliling kita bermaksud jiran tetangga kita. Kebanyakkan masyarakat hari ini, tidak suka bergaul sesama jiran. Kehidupan yang lebih mementingkan pekerjaan tanpa batas ini secara tidak langsung telah melonggarkan ikatan silaturrahim sesama umat Islam. Perilaku baik penting untuk mendapatkan balasan baik dari orang lain. Konsep baik pahala, jahat dosa boleh jadikan pegangan untuk mengelakkan diri dari bersikap keji dan menyakiti hati orang lain. 

Dapat disimpulkan, akhlak dalam hidup bermasyarakat penting untuk menjadikan satu satu masyarakat itu masyarakat yang bertamadun. ( rujukan ; www. blogspot. my/2011/12akhlak-sebagai-asas-kebahagian. com )

Manusia adalah sebagai penegak kepada ketamadunan, adalah menjadi tuntutan untuk meletakkan nillai kemanusian dan akhlak di tingkat yang tertinggi, disamping itu, nilai materialistik hanyalah menjadi pelengkap kepada pejalanan hidup manusia. 

Syed Qutb (1984) pernah mengatakan: . . . apabila kemanusiaan itu menjadi suatu nilai yang dijunjung tinggi dalam sebuah masyarakat dan apabila sifat sifat kemanusiaan menjadi tumpuan penilaian dalam masyarakat, ketikaa ituah masyarakat itu dikatakan bertamadun. Sebaliknya bila sahaja kebendaan dalam bentuk apa pun yang menjadi ukuran tertinggi sesebuah masyarakat, pada ktika itu nilai nilai kemanusiaan dipandang hina, maka masyarakat itu adalah masyarakat yang songsang atau disebut masyarakat jahilillah. . . 

Dalam kata Syed Qutb, saya mendapati, betapa pentingnya akhlak untuk menjadikan sesebuah masyarakat itu bertamadun. Kemanusian sebagai kayu ukur untuk ketamadunan sesebuah masyarakat amatlah tepat kerana, masyarakat yang hanya mengagungkan kebendaan dan keduniaan hanya mendapat kebahagiaan sementara sahaja disamping tercetusnya peperangan merebut hasil kekayaan yang hanya akan menganggu gugat keamanan dalam masyarakat. 

Bila kita menjadikan nilai kemanusia sebagai pegangan dalam pembentukkan tamadun, keharmonian hidup dalam bermasyarakat dapat dikecapi oleh ahli masyarakat, dan yang paling penting, ketamadunan masyarakat yang menjadikan nilai kemanusiaan sebagai pegangan diredhai dan mendapat kerahmatan dari Allah subhanahu wa ta’ala. 

Selain itu, Syed Qutb juga menjelaskan bahawa tamadun Islam adalah tamadun yang mementingkan nilai akhlak yang tinggi yang berpandukan Al-Quran dan Al-Hadis. Tamdun Islam juga mementingkan nilai-nilai kebendaan tetapi tidak sepenuhna kerana faktor akhlak kepada tamadun Islam adalah utuk mengekalkan keutuhan tamadun. 

Dalam sejarah Islam, tamadun yang megah akhirnya dihancurkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala kerana mereka lebih mementingkan kebendaan dan mengingkari perintah Allah subhanahu wa ta’ala. 

Contoh pertama, kaum Thamud, kaum Nabi Salleh. Sewaktu kemajuan zamannya seperti memiliki kota yang aman, Allah subhanahu wa ta’ala juga melimpahkan rezeki ke atas mereka seperti sumber air mata air, kebun kebun merekaa yang subur dan ladang ladang yang luas terbentang. Malangnya, mereka mendustakan nabi mereka, mereka melakukan kemaksiatan sehingga Allah subhanahu wa ta’ala membinasakn mereka dengan gempa bumi yang dahsyat. 

Contoh kedua adalah, kaum nabi Luth as. Kaum Sadom diberikan pelbagai kemewahan dan kekayaan. Malangnya, mereka hidup bergelomang dengan kemaksiatan, homosek dan pelbagai kemungkaran dicipta melanggar perintah Allah subhanahu wa ta’ala. Masyarakatnya yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan dan rosak akhlaknya dengan tidak berasa takut kepada azab Allah subhanahu wa ta’ala melakukan perbuatan keji dan mendustkan nabi Allah. Akhirnya, mereka dibinasakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dengan azab yang tidak mereka sangka sangkakan. 

Apa yang boleh saya simpulkan disini, akhlak adalah asas yang penting kepada pembentukkan tanmadun Islam. Akhlak dalam tamadun Islam mementingkan nilai kemanusiaan, walau bagaimana pun tidak meminggirkan nilai kebendaan. Nilai yang menjadi kayu ukur kepada pembentukan tamadun Islam adalah nilai kemanusiaan, nilai tersebut mendapat keberkatan dari Allah subhanahu wa ta’ala. 

Kemaksiatan dan kemungkaran hanya kerugian yang dicipta oleh manusia sendiri, dan akhirnya memusnahkan mereka. Masyarakat yang tidak bertaqwa dan lemah imannya, mereka akur dengan godaan nafsu dan bisikan syaitan yang pangkalnya mendapat kemurkaan dari Allah subhanahu wa ta’ala. Kerosakkan moral dan akhlak hanya akan menjatuhkan sesuatu tamadun itu. 

CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM
WASATIYYAH DAN TAWAZUN
Menurut pandangan Yusuf al-Qardhawi (2000, 271) al-Wasatiyyah iaitu kesederhanaan dan al-Tawazun iaitu keseimbangan boleh dirujuk kepada suatu tindakan atau keputusan yang tidak berat sebelah. Iaitu berkaitan dengan kerohanian(spiritual) dan kebendaan (metarialistik). Tamadun Islam bercirikan Wasatiyyah dalam segala hal. Islam tidak terlalu extrem dan menyarankan umatnya supaya lebih bersederhana dalam pelbagai aspek dalam kehidupan. 

Ajaran Islam adalah berdasarkan kesepaduan dan keseimbangan, dimana terdapat perkaitan antara satu sama lain. Disebabkan itu Islam amatlah bersesuaian kepada umat manusia. Ini adalah kerana ciri wasatiyyah dan tawazun, akan membantu umat manusia untuk memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat. Amatlah penting untuk hidup di dunia dengan kesederhanaan dan tidak terlalu berlebih lebih kerana sikap tamak haloba hanya akan melalaikan kita. 

Keseimbangan antara ketaqwaan kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan kerja buat kita seharian juga penting supaya kita mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat kelak. Allah subhanahu wa ta’ala Maha Mengetahui dalam segala hal, setiap tingkah laku manusia hendaklah sejajar dengan syariah Islam. Ini kerana keredhaan dariNya amatlah penting untuk mendapatkan ganjaran pahala dan syurga. 

Sebagai contoh, ciri Islam yang bersederhana dalam kepemimpinan. Dalam mentakbir sesebuah negara dan masyarakat, Islam menganjurkan amalan syura iaitu pemesyuaratan. Dengan syura, ahli syura perlu menerima setiap pandangan masing masing dan ini menjurus kepada konsep wasatiyyah yang tidak hanya mementingkan diri dan tidak mahu menerima pendapat dari orang lain. Sesungguh sikap bersederhana ini dapat mengelakkan satu tampok pemerintahan menjadi gila kuasa dan sebagainya. 

Disini saya simpulkan, wasatiyyah dan tawazun menjamin kestabilan sesuatu pemerintahan. Dapat dilihat dari tamadun Islam sendiri dan wajar dibanggakan kerana mampu menjadi satu tamadun yang begitu lancar dalam pemerintahannya. Negara negara pada masa kini perlulah menjadikan wasatiyyah sebagai ciri kepimpinan mereka agar kemajuan negara akan lebih meningkat dan mampu bertahan selama lamanya. 

TOLERANSI
Sikap toleransi amatlah penting untuk menjamin keharmonian sesuatu tamadun. Tamadun Islam amat mementingkan sikap toleransi dalam beragama. Walaupun Islam dilihat memusuhi golongan yang tidak mengakui Keesaan Allah subhanahu wa ta’ala, sebenarnya, Islam amatlah bertolak ansur dalam hal keagamaan. Ini bermakna, Islam tidak terlalu cetek akal untuk memusuhi golongan yang tidak menerima Islam tanpa sebab yang munasabah. Tindakan Islam berpandukan kepada interaksi dan komunikasi dari agama lain terhadap agama Islam. 

Ramai yang menghina Islam kerana satu kumpulan yang menggunakan nama Islam untuk melakukan keganasan. Ramai yang melabelkan Islam tidak bertoleransi dan suka memberontak disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu menggunakan nama Islam. Sebenarnya, Islam menjunjung tinggi toleransi, Islam tidak terlalu pasif terhadap agama-agama lain. Contohnya, pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda membenarkan golongan yang tidak beragama Islam tinggal di dalam Kota Madinah. Sikap toleransi baginda telah menjadikan Madinah sebagai kota yang aman damai. 

Bukan sahaja terhadap agama lain malahan Islam juga bertoleransi terhadap umatnya sendiri. Islam adalah agama yang bertoleransi dan mudah, seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala: “dan tidaklah Dia (Allah) menciptakan kamu untuk menanggung bebanan dan kepayahan dalam hal hal agama” (al-Hajj ; 78) 

Sebagai contoh toleransi Islam kepada umatnya ialah diberi kelonggaran dalam suatu suatu ibadat tertentu, kelonggaran tersebut dipanggil rukhsah. Sebagai contoh, kepada musafir yang merantau, diberikan kelonggaran untuk mereka berbuka puasa pada waktu siang hari. Selain itu, mereka juga boleh mengqasarkan empat rakaat solat fardhu mereka menjadi dua rakaat sahaja. Di samping itu, musafir juga boleh menjamakkan dua solat fardhu dalam salah satu waktu solat fardhu tersebut. (Sinar Harian ; Mudahnya Islam: keringanan diberikan syarak ; Ustaz Idris Sulaiman, ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuan Malaysia. 

Dan terdapat banyak lagi kelonggaran dalam agama Islam kepada penganutnya yang menunjukkan Islam adalah agama yang bertoleransi. Dirumuskan bahawa, sikap toleransi dapat mengelakkan kacau bilau dalam sesebuah tamadun. Sikap toleransi terhadap agama lain juga menunjukkan Islam sebagai agama yang mementingkan keamanan. Toleransi Islam terhadap umatnya juga membuktikan Islam agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya. 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “ sekiranya aku memberikan perintah kepada kamu untuk lakukan sesuatu perkara. Maka kamu hendaklah melakukannya sekuat daya dan semampumu” ( Riwayat Bukhari dan Muslim) 

KESATUAN
Kesatuan adalah satu kelebihan kepada umat Islam kerana agama Islam sendiri adalah faktor bersatunya para penganutnya tidak kira perbezaan dari segi kaum, bahasa, geografi dan cara hidup masing masing. Matlamat Islam adalah untuk menyatukan setiap umat manusia serta saling beramal ibadat dan bertaqwa kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Hal ini kerana tamadun Islam yang bercirikan Kesatuan telah menjadi sebuah tamadun yang begitu gah pada suatu ketika dahulu. Dan sehingga kini, ciri-ciri kesatuan ini ambil pakai oleh negara Islam yang mempunyai pelbagai kaum di negaranya. 

“ Dan janganlah kamu mencontohi orang orang yang masih bertelagah dan bercerai-berai setelah keterangan yang jelas sudah datang kepada mereka. Mereka adalah golongan yang akan mendapat siksaan yang berat” (Ali Imran ; 105)

Sesungguhnya, potongan ayat di atas menjelaskan lagi bahawa, Islam melarang perpecahan. Sejak Nabi Muhammad diutuskan sebagai penyampai wahyu Allah subhanahu wa ta’ala, masyarakat seharusnya telah mempunyai jalinan dan ikatan yang kukuh atas dasar agama Islam yang diperjuangkan bersama-sama. Sikap segelintir daripada ahli masyarakat yang masih berkeras dan pentingkan diri sendiri hanya akan merugikan diri mereka sendiri. Allah telah memberikan ugutan yang keras bahawa golongan yang suka berselisih dan bercerai-berai akan mendapat azab di akhirat kelak. Malahan tidak mustahil, Allah subhanahu wa ta’ala akan menurunkan azab di dunia jika perpecahan berlaku terlalu teruk dan tiada lagi umat Islam yang bersatu. 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda yang bererti: “ perumpamaan bagi orang yang beriman dalam urusan saling mengasihi, mencintai dan sayang menyayangi adalah seperti satu tubuh. Dan bila salah satu anggota sedang sakit, maka anggota anggota badan yang lagi juga akan merasakan kesakitan tersebut, sehinggakan seseorang itu tidak boleh lelapkan matanya dan jatuh sakit”

Demikianlah, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam menyimpulkan umat Islam yang hidup saling berkasih sayang dan menjaga antara satu dengan yang lain ibarat tubuh badan. Jika umat Islam ditimpa musibah, maka kepedihan, kesulitan dan perasaan yang berat turut dirasai oleh umat Islam yang lain diseluruh pelosok dunia. Begitu teguhnya kesatuan antara umat Islam kerana segala hal dan tindakan adalah menjurus kepada Allah subhanahu wa ta’ala yang satu. 

KESIMPULAN 
Betapa ciri-ciri tamadun Islam yang saya rangkulkan dalam teks ini menjadi keteguhan umat Islam sejak zaman dahulu lagi. Kesederhanaan yang menjamin tiada perselisihan dalam menerima setiap pandangan dari orang sekeliling, Tolak ansur menjadikan agama Islam sebagai agama yang mudah dan tidak membebankan penganutnya dan akhir sekali, kesatuan, faktor utama umat Islam masih kekal sehingga ke hari ini. Tamadun Islam maju dan menjadi satu tanda kebanggan umatnya kerana ciri-cirinya yang begitu ringkas namun isinya yang komplek dan berstrategi. 

Wajarlah kita menanam nilai wasatiyyah, toleransi dan keatuan dalam diri untuk menjadikan diri kita sebagai muslim yang mukmin dan semoga kita mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah subhanahu wa ta’ala atas segala kerja buat dan tindak tanduk kita. Sekian. 

ASAS TAMADUN ISLAM :ILMU
Setiap manusia telah dianugerahkan oleh Allah sejak lahir akal yang sempurna untuk menerima dan menyerap ilmu yang diajar. Dari sudut bahasa ilmu berasal dari bahasa arab iaitu ‘alima yang bermakna mengetahui/perbuatan yang bertujuan mengetahui segala sesuatu dengan sebenar-benarnya. Dan juga berasal dari perkataan latin yakni science yang bermakna pengetahuan, mengetahui dan memahami. Dari segi istilah ilmu bermakna segala bentuk pengetahuan tentang sesuatu yang datang dari Allah subhanahu wa ta’ala, yang diturunkan kepada nabi dan rasul serta alam yang diciptakanNya termasuk manusia dan seluruh ciptaanNya yang ada di muka bumi. Atau pengetahuan yang sistematik dan ilmiah. Secara umumnya, ilmu bermaksud pengetahuan berkenaan dengan bidang yang tersusun secara sistematik menurut kaedah yang boleh digunakan untuk menerangkan dan menjelaskan serta memahami hal yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu banyak dikembangkan dalam pelbagai bidang. Mulai dari ilmu agama, ilmu pengetahuan alam, sosial, masyarakat, dan masih banyak lainnya. tak ada hadnya dalam meneroka dan mempelajari ilmu kerana ilmu itu diibaratkan lautan yang luas yang tidak hanya dengan seteguk saja sudah cukup, tapi sampai maut memisahkan jiwa dan raga, ilmu tidak akan pernah habis untuk diteroka oleh seluruh umat manusia. Sabda nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam “tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad”. Hadis tersebut menggesa umat Islam supaya menuntut ilmu tanpa mengenal usia kerana ilmu tiada hadnya. 

Ilmu merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sesebuah tamadun Islam. Tanpa ilmu pembinaan tamadun Islam hanyalah sekadar angan-angan sahaja. Menuntut ilmu merupakan fardu ain yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu muslim tanpa mengira warna kulit dan bahasa. Islam sentiasa mendorong umatnya supaya terus menuntut ilmu. Malahan wahyu pertama yang nabi peroleh ketika beliau bertapa di gua hira’ juga adalah iqra’ yang bermaksud bacalah. Jelas sekali Al-Quran menggesa umatnya supaya menuntut ilmu. Gesaan ini terdapat dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala yang bermaksud:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta(sekalian makhluk). ia Mencipta manusia dari segumpal darah, Bacalah dan Tuhanmu Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya (al-Alaq, 96:1-5) 

Selain itu, al-Quran juga amat menyanjungi golongan yang berilmu. Golongan yang berilmu lebih tinggi darjatnya daripada golongan yang kurang berilmu. firman Allah :

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang diberi ilmu (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat (al-Mujahadah, 58:11)

Seperti yang dinyatakan di atas ilmu terbahagi kepada 2 iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Imam AlGazali menjelaskan, sesuai hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. “Menuntut Ilmu adalah fardhu bagi setiap muslim” menunjukkan penuntutan ilmu itu wajib bagi setiap muslim. Namun kini muncul pertanyaan, apakah semua cabang ilmu itu wajib untuk dipelajari? Ataukah hanya ilmu tertentu saja? Yang fardhu ain dalam hadits ini sebenarnya yang mana? AlGazali menjelaskan dalam ihyaUlumuddin dalam makna hadis ini manusia banyak berbeza pendapat. Menurut alGazali ilmu yang fardhu ain (setiap orang wajib mempelajarinya) terdapat sampai lebih dua puluh lebih pendapat. Berbeza menurut bidangnya masing- masing. Para ahli kalam mengatakan bahawa yang fardu ain itu adalah ilmu kalam. Kerana dengan ilmu ini kita dapat memahami makna tauhid. Mengetahui zat dan sifat-sifat Allah subhanahu wa ta’ala. Ahli fiqh mengatakan bahawa yang fardhu ain itu adalah ilmu fiqh. kerana dengan ilmu fiqh ini ibadah, halal, haram, apa yang diharamkan dan dihalalkan dari interaksi sosial itu dapat diketahui. Ahli tafsir dan ahli hadis bahawa yang wajib ain itu adalah ilmu tentang alquran dan hadis. Kerana dengan ilmu ini kita boleh sampai ke ilmu secara keseluruhan. 

Ahli tasawwuf mengatakan bahawa ini adalah ilmu mukasyafah atau ilmu tasawwuf itu sendiri namun ahli tasawwuf sendiri berbeza-beza lagi maksud dengan ilmu yang fardhu ain ini. Sebahagian mengatakan itu adalah ilmu untuk mengetahui hal dan maqam seorang hamba di sisi Allah. Sebahagian berkata adalah ilmu ikhlas. Pendalaman jiwa, membezakan antara millah syaitan dan millah malaikat. Dan sebahagian mengatakan ilmu batin dan wajibnya ini khusus untuk kaum-kaum tertentu. 

Manakala Fardu Kifayah pula ialah perkara yang wajib dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentingan Umat Islam. Jika diabaikan atau tiada siapa pun yang melakukannya maka seluruh masyarakat berdosa. Contohnya menguasai ilmu atau kepakaran dalam sesuatu bidang seperti pendidikan, teknologi, perubatan, kejuruteraan dan perkara lain yang boleh mendatangkan kepentingan kepada Ummah. 

Di sinilah letaknya keunikan dan keistimewaan yang menghiasi Islam mendokong konsep-konsep dua kefardhuan iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah yang perlu diseimbangkan dan difahami dengan sejelas-jelasnya untuk keperluan di dunia dan di akhirat. Sehubungan itu, usaha-usaha yang dilakukan untuk mengubah salah tanggap tentang erti fardhu kifayah perlulah digalakkan. Ini kerana ia mempunyai kaitan dengan aspek pembangunan yang menyumbang kepada keselesaan hidup dan keselamatan umat Islam. Malah seluruh umat Islam akan berdosa jika tidak ada pihak yang sanggup berusaha melaksanakan dan menyediakan keperluan bagi keselesaan hidup umat Islam di negara ini. Islam sentiasa mendorong kepada kecemerlangan, kemakmuran dan pembangunan dalam semua segi kehidupan. Sayangnya dalam bidang inilah kita mengalami kelemahan dan kemunduran. Dalam pada itu kecemerlangan dan pembangunan tidak juga bermakna jika tanpa disertai jiwa yang tenang dan perut yang kenyang. Kita juga memerlukan sebuah masyarakat saintifik dan progresif yang bermoral, adil dan penyayang. 

Maka dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan umat Islam mereka mestilah bersama-sama memainkan peranan membangunkan umat melalui pengertian fardhu kifayah yang sebenarnya. Mereka tidak sewajarnya menyempitkan fahaman mereka terhadap fardhu kifayah tentang perkara yang berkaitan dengan kematian sahaja sedangkan makna tuntutan fardhu kifayah sangat luas. Umat Islam dengan ini walau apapun peranan mereka, mereka bertanggungjawab merancang cara-cara mengukuhkan sumber ekonomi. Ia seperti membangunkan tanah wakaf, membeli dan mendapatkan tanah pertanian, industri, mendirikan pusat-pusat latihan dan perlindungan untuk golongan yang kurang bernasib baik, menubuhkan koperasi, menjalankan perniagaan dan banyak lagi. Dengan itu, tuntutan fardhu kifayah yang lebih menyeluruh dapat kita laksanakan, serentak itu juga kita boleh dijadikan model kerana wujudnya keseimbangan antara pembangunan rohani dengan pembangunan jasmani. Ini sekaligus dapat membina imej bahawa agama Islam adalah agama yang mementingkan kehidupan duniawi dan ukhrawi. 

Sesungguhnya hanya dengan fahaman yang sebenarnya tentang fardhu kifayah sahajalah umat Islam dapat membina kehidupan mereka dengan cemerlang. Segala prasarana ilmu yang disediakan perlu digunakan dengan sebaik-baiknya, malah peluang yang ada pada hari ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab melaksanakan tuntutan fardhu kifayah sewajarnya tidak lagi dimiliki oleh orang perseorangan atau kelompok masyarakat sedangkan golongan lagi memencilkan diri. Sebaliknya setiap orang perlu merebut peluang menunaikan tuntutan fardhu kifayah supaya umat Islam terselamat daripada memahami konsep tunggu dan biarkan orang lain buat. Cuma apa yang perlu bagi kita adalah pengisian. Fikiran dan halacara hidup kita sebagai umat Islam perlu diperbetulkan dari terus membincangkan persoalan fardhu ain, ibadat khusus dan mengulang-ulang apa yang telah dibicarakan sejak berabad-abad lalu tanpa membuka minda masyarakat dengan lebih luas tentang aspek fardhu kifayah yang perlu diberi nafas baru. Kita masih ketinggalan dalam mengisi peluang yang disediakan melalui aspek I. T. Kita masih tidak melihat kemudahan tersebut diisi dengan program dan pendekatan secara Islamik yang lebih berkualiti. Lantas, bidang tersebut direbut oleh pihak lain lalu diisi dengan bahan-bahan yang lebih menjurus kepada kerosakan dan penyelewengan. Maka jadilah ruang-ruang tersebut diremehkan oleh umat Islam lalu ia diwarnai oleh pandangan negatif. 

CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM :TERBUKA, ANJAL DAN TETAP, SEJAGAT

Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah. Dalam konteks ajaran Islam, ada perkara yang telah tetap dan tidak boleh dipinda dan diubah-ubah dasar, prinsip dan perlaksanaannya. Antara perkara yang termasuk dalam konsep thabat adalah aspek akidah dan hukum-hakam amaliyyah yang dinyatakan secara qat’i (pasti) dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. 

Konsep al-thabat dalam aspek akidah dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap Allah subhanahu wa ta’ala. yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Perkara-perkara berkaitan akidah adalah tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-ubah. Sementara dalam konteks amaliyyah seperti ibadat solat, puasa, haji dan zakat telah ditetapkan cara dan waktu perlaksanaan dalam syariat Islam. Begitu juga beberapa prinsip dalam muamalat seperti pengharaman riba, gharar (unsur-unsur yang tidak ketentuan), kewajipan saling meredai dalam berakad dan lain-lain. Selain itu, hukum jenayah yang diwajibkan dalam al-Qur’an dan al-Hadith seperti hukum hudud dan qisas tidak boleh diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi perkaraperkara yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah seperti khinzir, minum arak, berjudi dan riba. Perkara-perkara ini ditentukan secara qat’i dan tidak mungkin berubah sampai bila-bila. Perkara-perkara seperti inilah yang termasuk dalam konsep al-thabat. 

Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain daripada perkara-perkara pokok dan dasar yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara ranting dan cabang yang boleh berubah mengikut kesesuaian dengan perubahan maslahahmanusia sepanjang peredaran zaman. Hal ini menjadikan agama Islam yang diturunkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala. sentiasa sesuai dan bersifat senang dan mudah untuk diamalkan. Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali menyusahkan umatnya dalam mengamalkan segala ajarannya. Sebagai contoh, solat adalah wajib dan perlu dilaksanakan mengikut ketetapan rukun. Walaubagaimanapun, jamak dan qasar dibenarkan dalam solat sekiranya seseorang itu bermusafir. Ini terbukti bahawa hukum Islam tidak statik, sebaliknya bersifat anjal dan fleksibel dengan memberi keutamaan kepada keselesaan penganutnya. 

Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala. yang bermaksud: Allah tidak sesekali memberatkan seseorang itu kecuali dengan kadar upayanya. Baginya (pahala) bagi kebaikan yang dikerjakannya, dan keatasnya (dosa) bagi kejahatan yang dikerjakannya. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami atas apa yang kami terlalai atau silap padanya. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan pekerjaan yang berat ke atas kami sebagaimana yang Engkau bebani ke atas mereka yang sebelum daripada kami.  (Surah al-Baqarah: 286) 

‘Alamiyyah (Sejagat) 
‘Alamiyyah bermaksud Islam merupakan agama yang universal, tidak terikat dengan masa, tempat dan ruang. Malah, Islam sesuai untuk semua manusia, setiap bangsa dan tidak terbatas pada masa-masa tertentu. Aspek ‘alamiyyah merangkumi tiga bidang utama iaitu syariah, akhlak dan akidah. 

Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai kedudukan yang sama di sisi Allah subhanahu wa ta’ala. Tidak ada bangsa yang lebih mulia daripada bangsa lain kerana faktor bangsa atau warna kulit atau bahasa semata-mata. Faktor tunggal yang membezakan seseorang dengan yang lain ialah tahap ketakwaan kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Semakin bertakwa, maka semakin tinggilah kedudukan orang tersebut di sisi Allah. 

Firman Allah subhanahu wa ta’ala. yang bermaksud: Sesungguhnya yang terlebih mulia daripada kalangan kamu ialah yang paling bertakwa. (Surah al-Hujurat: 13) 

Manifestasi kesejagatan Islam bukan sahaja meliputi sesama manusia, malah merangkumi makhluk yang lain. Allah subhanahu wa ta’ala. bukanlah Tuhan bagi manusia sahaja, malah Allah subhanahu wa ta’ala. juga merupakan Tuhan bagi makhluk yang lain. Oleh itu, ajaran Islam diturunkan bukan sahaja untuk menjaga kebahagiaan dan kebajikan makhluk manusia sahaja, tetapi juga makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. 

Dalam hal ini, Allah subhanahu wa ta’ala. berfirman yang bermaksud: “Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai (membawa) rahmat ke seluruh alam”. (Surah al-Anbiya’:107) 

Keterbukaan 
Waqaral-Husaini (1985) seorang sarjana menegaskan bahawa sikap terbuka umat Islam terserlah dalam memanfaatkan sumber-sumber tamadun daripada orang Yunani, Romawi, Iskandariah, Syria, Parsi, India dan China. Umat Islam tidak meniru unsur luar tanpa saringan dan tapisan yang wajar. Namun ia tidak bermaksud menghalang umat Islam daripada mengkaji dan meneliti hasil tamadun luar terutama hal-hal yang baru. Malah, Muhammad Asad (1983) menjelaskan bahawa umat Islam selalu menerima pengaruh-pengaruh baru daripada peradaban asing tanpa menghancurkan peradabannya sendiri. 

HarunNasution (1985), seorang ilmuwan dari Indonesia membuktikan bahawa sumber tamadun Islam, iaitu al-Qur’an telah menggesa penggunaan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Banyak ayat al-Qur’an menyentuh penggunaan akal fikiran yang sihat seperti merenung (dabbara), mengerti (faqiha) melihat secara abstrak (nazara), berfikir (tafakkar danaqala). Malah menurut Hasan Langgulung (1986) pula:

a. Alat utama untuk mengkaji alam semesta menurut al-Qur’an ialah pancaindera dan akal. Firman Allah subhanahu wa ta’ala. yang bermaksud: Allah yang mengeluarkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui sesuatu. Dia juga menjadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati. (Surah al-Nahl: 16 – 78)

b. Kita juga belajar melalui pemerhatian dan percubaan yang didukung oleh kuasa (faculty) pemikiran seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala. yang bermaksud: Katalah: Berjalanlah di bumi dan lihatlah bagaimana Dia mencipta makhluk pertama.  (Surah al-Ankabut: 29 – 30)  

c. Untuk menganggapi tanda-tanda Allah dalam alam ini, seseorang itu harus mempunyai akal (intellect) dan pemikiran (reflection) seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala. yang bermaksud: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang merupakan tanda-tanda bagi orang berakal. Orang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau sedang baring dan memikirkan penciptaan langit dan bumi. (Surah al-Imran: 190 – 191) 

PENUTUP
Kehebatan tamadun Islam telah mengubah arah kegelapan tamadun barat menjadi sebuah tamadun yang hebat hingga ke hari ini. Kajian demi kajian dibuat terhadap tamadun Islam telah melahirkan banyak ahli fikir eropah. Secara kasar tamadun Islam lebih mementingkan akhlak keperibadian mulia setiap insan tanpa membezakan setiap bangsa. Namun tamadun barat lebih mementingkan kepada keuntungan atau lebih tepat materialistik (kebendaan) walaupun soal ahklak insan terbiar. Barisan sarjana Barat diantara yang terkenal seperti ThomasCerlyle, GustavLe Bon, OswaldSpengler dan terakhir ArnoldToynbee mengambil kesimpulan setelah melakukan kajian terhadap bekas-bekas peninggalan tamadun Islam, mereka menyatakan bahawa perubahan-perubahan hebat yang berlaku ke atas tamadun-taamaun di serata dunia ini tidak terlepas dari pengaruh Islam. Tanpa malu dan segan mereka mengakui bahawa kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di sana. Iaitu berakhir pada 1492 M. 

CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM
SYUMUL 
Ciri khusus Islam yag kedua ialah Syumul. Syumul bererti bahawa ajaran Islam itu lengkap dan menyeluruh. Ruang lingkup ajaran Islam itu lengkap dan menyeluruh. Ruang lingkup ajaran Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa pengecualian, bermula dari sekecil-kecil urusan sampailah kepada sebesar-besarnya. Mulai dari urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan hubungan antarabangsa. Dalam bidang akidah, akhlak, muamalah, jenayah, ekonomi dan lain-lain. Allah tidak mengabaikan dalam al-Quran walau sedikitpun. 

Islam mempunyai hukum ke atas semua perkara yang terbit daripada manusia, baik perkara yang difikirkan mahupun kecenderungan-kecenderungannya. Allah telah menurunkan al-Quran untuk menjelaskan semua perkara. 

Oleh kerana ajaran Islam itu telah mencakupi semua sudut kehidupan manusia dan dapat menghukum dan menyelesaikan apa sahaja permasalahan manusia, seorang muslim tidak boleh membenarkan sebarang system yang lain selain daripada Islam untuk menyusun mana-mana sudut kehidupannya. Kalau beliau berbuat demikian, beliau akan tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang hanya mempercayai sebahagian daripada al-Quran dan kufur kepada sebahagian yang lain. Mereka ini akan mendapat kehinaan dalam kehidupan dunia, sementara di akhirat pula mereka akan menerima azab yang pedih. 

SUDUT-SUDUT KESYUMULAN ISLAM
1. UNDANG-UNDANG
Islam telah mengemukakan undang-undang kepada manusia. Undang-undang di sini bermaksud hukum-hukum untuk mengatur hubngan sesame manusia. Islam telah menaskan hukuman-hukuman dan balasan terhadap mereka yang melanggar undang-undang tersebut, sama ada hukuman dan balasan itu bersifat sivil yang dilaksanakan ke atas harta penjenayah atau hukuman dalam bentuk membalas balik perbuatan yang dilakukan oleh penjenayah. 

Undang-undang Islam merangkumi segala sudut hubungan sesame manusia. Oleh yang demikian, tidaklah harus bagi seseorang Islam meninggalkan undang-undang Islam dan menggantikannya dengan undang-undang yang lain. Sesungguhnya umat Islam hari ini telah meninggalkan undang-undang Islam dan melaksanakan undang-undang asing. Undang-undang Islam hanya dilaksanakan daam bidang yang sempit, hanya terbatas dalam undang-undang kekeluargaan, malah bidang yang sempit inipun telah dinodai oleh tangan-tangan yang berdosa dengan melakukan perubahan dan pindaan. 

Undang-undang dan hukum Islam menghukum semua perbuatan manusia itu wajib, sunat, haram, makruh, sah atau batal. Semu perbuatan manusia, zahir dan batin adalah terlingkung dalam hukum-hukum ini. Tidak ada satupun yang terlepas darinya. 

2. KEADILAN
Islam telah memperjuangkan keadilan. Keadilan yang dimaksudkan oleh Islam ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak tanpa sebarang kekurangan. Keadilan waib diberikan kepada semua insan, baik muslim atau kafir, musuh atau kawan, ahli keluarga atau bukan ahli keluarga. Allah berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah sekali-sekali kebencianmu terhadap sesuatu kaum kerana menghalang-halangi kamu dari Masjidil Haram, mendorongmu berbuat (aniaya) kepada mereka. Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa” (Al-Maidah:2) 

Keadilan berlaku melakui hukuman dan kehakiman, juga berlaku dengan pujian, sanjungan, celaan, kritik dan kecaman. Keadilan boleh berlaku dalam keadaan reda atau marah. 

3. KEHAKIMAN
Islam telah mengemukakan sistem kehakiman. Ini bermaksud bahawa Islam menentukan hukum di dalam permasalahan hubungan sesama manusia, kerana manusia amat memerlukan seorang hakim yang dapat menghukum dan menyelesaikan perselisihan mereka serta dapat mengembalikan hak kepada yang empunya hak. 

Hakim yang muslim mestilah menghukum menurut hukum-hukum Islam. Beliau haram menghukum dengan hukum-hukum yang lain daripada hukum Islam. Sewaktu beliau menghukum menurut undang-undang Islam, beliau haruslah hati-hati dan teliti, berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan keadilan. Seandainya beliau betul dan tepat dalam menghukum, beliau akan dikurniakan dengan dua ganjaran, tetapi seandainya beliau tersilap atau tersalah, beliau akan dikenakan satu ganjaran

4. NEGARA
Dalam soal bernegara, Islam telah menjelaskan hukum-hukum yang berkenaan dengan persoalan negara. Islam bukanlah terbatas dalam lingkungan hubungan manusia dengan Allah, malah Islam juga menyusun hubungan manusia dengan Allah, malah Islam juga menyusun hubungan antara sesama mansia, hubungan invidividu dengan jamaah, hubungan sesama jemaah. Jamaah ini pula memilih suatu sistem siasah yang didokong oleh negara, manakalah negara pula empunyai seorang ketua yang dikenai dalam istilah fekah sebagai imam atau khalifah. Islam telah menerangkan asas bagi sebuah negara, cara memilih khalifah, menerangkan hak individu terhadap negara, demikianjuga hak negara terhadap individu. 

Negara menurut pandangan Islam adalah negara fikrah iaitu fikrah Islamiah. Oleh itu, negara dalam Islam adalah negara fikrah bukan qaumiah (perkauman), bukan jenis keturunan dan bukan daerah tertentu. 

Ketua negara dipilih dalam kalangan orang-orang Islam dengan syarat-syarat tertentu. Syarat-syarat ini tersimpul dalam dua sifat, quwah dan amanah. Peranan ketua negara  ialah melaksanakan syariat dan embimbing manusia untuk melaksanakannya. 

5. WATAN
Watan atau negara bagi semua muslim ialah semua negara Islam (Darul Islam). Negara Islam pula ialah: seluruh iklim yang dialami oleh orang Islam, kekuasaan dalam iklim tersebut adalah di tangan orang Islam dan mereka melaksanakan hukum-hukum slam dalam iklim tersebut. 

Tiap-tiap individu muslim adalah berkewajipan dalam mempertahankan dan menghaang musuh dari merampas Darul Islam. Kewajipan ini adalah merupakan sebuah Darul Islam terhadap seorang muslim. 

6. UMAT
Islam mentakrifkan umat dengan suatu jamaah manusia yang disatukan oleh satu ikatan. Ikatan ini menjadikan mereka suatu jamaah yang berbeza dari jamaah-jamaah yang lain, bersatu dan bertaut sesaa mereka dan ingin hidup bersama dengan penuh harmoni. 

Islam membangunkan umat ini di atas asas akidah Islamiah. Akidah adalah ikatan yang paling kuat dan abadi. Setelah manusia terjalin dalam ikatan akidah Islamiah, perbezaan jenis, bahasa atau iklim tidak lagi menjadi suatu hal yang penting. Dengan akidah Islamiah sahaja suda cukup untuk membentuk satu umat. Sesuatu yang lain dari akidah Islamiah tidak akan mampu untuk membina suatu umat. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang Muslim itu bersaudara" (Al-Hujurat:10) 

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah aku” (Al-Anbiya’:92)

7. AKHLAK
Islam mengambil berat soal akhlak. Pengambilan berat Islam terhadap akhlak amatlah jelas, kerana al-Quran telah menggariskan akhlak-akhlak yang baik, iaitu akhlak yang menjadi sifat-sifat orang mukmin. Al-Quran menyebut sifat-sifat ini dengan cara memuji, menyukai dan menyeru manusia agar berakhlak dengan sifat-sifat tersebut. Orang-orang mukmin mestilah mencontohi akhlak Rasulullah . Diriwayatkan dari Aisyah r. a, sewaktu beliau menerangkan akhlak Rasulullah, beliau telah berkata: “Akhlak Rasulullah ialah al-Quran” (Riwayat Muslim) 

8. KEKUATAN
Berhubung dengan soal kekuatan, Islam teah mendorang umatnya agar melengkapkan diri dengan segala entuk kekuatan. Seorang muslim tidak harus lemah dan beku.  Pada hakikatnya, Islam memandang berat soal kekuatan dan dengan terus terang menuntut agar umat Islam mencari sebab-sebab yang akan membawa kepada kekuatan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi. ” (Al-Anfal:60) 

Tuntutan menyediakan kekuatan dalam ayat ini merupakan satu tuntutan wajib. Oleh yang demikian, umat Islam wajib menyediakan sebab-sebab untuk menjadi kuat sedaya yang mampu, sesuai dengan masa dan tempat. 

REALISTIK DAN IDEAL SEPANJANG ZAMAN

Yang kita selalu maksudkan dengan ideal di sini ialah Islam sentiasa menekankan dan ingin meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan mampu di capai oleh manusia. Kesempurnaan paling tinggi ini dapat dicapai dengan menjadikan seluruh kegiatan manusia, perkataan, perbuatan, perkara yang ditinggalkan, perkara yang ingin dicapai, pemikiran dan kecenderungannya. Kesemuanya cocok dan tidak bercanggah dengan ajaran Allah, baik darisudut cara, rukun, syarat dan tujuannya. Inilah yang disebut sebagai ideal. Keadaan ini seperti telah berlaku pada iri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Segala sesuatu yang terbit dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak ada yang bercanggah dengan ajaran Allah. Oleh kerana itulah kita diperintahkan supaya menjadikan Rasulullah qudwah hasanah bagi kita. 

TUNJANG BAGI SIFAT IDEAL
Ada dua perkara yang menjadi tunjang dan asas kepada sifat ideal ini. Dengan kedua-dua tunjang ini, idealisme ajaran Islam itu dapat dilihat dengan nyata. Kedua-dua tunjang yang dimaksudkan ialah seimbang dan sederhana. Dalam perbincangan itu, telah kita jelaskan bahawa sedehana yang kita maksudkan ialah tidak keterlalulan dalam semua perkara dan memberikan hak kepada yang empunya hak. 

Di sini, kita tidak akan mengulang lagi perbincangan itu dengan panjang lebar. Cukup dengan kita mengatakan bahawa sederhana dalam ajaran Islam seharusnya berlaku dalam semua sudut ajaran Islam itu sendiri. 

Di samping perlaksanaan yang sederhana ini, adalah dibenarkan, digalakkan atau malah diwajibkan pada waktu-waktunya seseorang itu memilih yang lebih sukar dan susah. Umpamanya memilih cara hidup yang menyusahkan, rela hidup dalam keadaan sempit sekalipun beliau mampu untuk bersenang-lenang. Tindakan ini mungkin dilakukan dengan tujuan yang syar’i, dengan sebab-sebab yang baik, seperti beliau berada di tempat pimpinan dan menjadi qudwah hasanah, atau kerana beliau mngelakkan dirinya dari perkara yang tidak harus dilakukan. Berdasarkan pemahaman seperti inilah kita semestinya memahami tindakan para salafus soleh yang telah memaksa diri mereka hidup susah dan enggan hidup dalam keadaan senang-lenang dan penuh kerehatan. 

SYUMUL
Ideal dalam Islam bersifat syumul. Yakni, muslim mestilah mencapai darjat kesempurnaan paling tinggi yang termampu olehnya dalam semua bidang dan sudut, baik sudut akidah, ibadah, akhlak, ilmu dan lain-lain. 

REALISTIK
Realistik yang kita maksudkan di sini bukanlah realist dalam pengertian yang dikehendaki oleh golngan yang berfahaman kebedaan yang mengingkari sesuatu yang di luar alam nyata dan menganggap sesuatu yang wujud itu hanyalah benda-benda yang dapat dirasa dengan pancaindera. Bagi mereka sesuatu yang di luar dari alam nyata, tidak dianggap sebagai sesuatu yang wujud. Bagi mereka tiada Tuhan pencipta alam, tiada roh bagi manusia, tidak ada di sebalik alam yang dapat dilihat ini satu dunia lain ang tidak boleh dilihat. Tidak ada satu kehidupan lain sesudah kehidupan dunia ini, kerana semua perkara yang disebutkan itu tidak dapat dibuktikan denga tanda-tanda yang dapat dilihat dan dirasa. 

Kita tidak maksudkan dengan realistik seperti ang difahamkan oleh golongan materialis ini, kerana konsep itu bertentagan dengan wahyu, fitrah dan akal. Kita juga tidak bermaksud menerima semua reality dan kenyataan yang wujud, tunduk dan patuh kepadanya walaupun ia merupakan kenyataan yang keji, kotor dan tidak bernilai melakukan tanpa sebarang usaha untuk mengubahnya, tidak berusaha meletakkan reality itu di tempat yang tinggi dan hakiki. 

Realiti yang kita maksudkan ialah mengambil kira reality alam sejagat atas dasar bahawa alam sejagat merupakan suatu hakikat yang berlaku di dunia nyata dan satu kewujudan yang dapat dilihat. Namun begitu alam sejagat ini menunjukkan kepada satu hakikat lain yang lebih besar. Iaitu satu kewujudan yang akan kekal selama-lamanya, itulah kewujudan Allah yang telah menciptakan segala yang wujud dan menentu ketentuan-ketentuan yang akan berlak ke atas setiap unit alam sejagat ini. 

Realiti kehidupan yang diambil kira berdasarkan bahawa kehidupan ini penuh dengan kebaikan dan keburukan, yang akan berakhir dengan mati yang akan membuka suatu kehidupan lain sesudah mati. Dalam kehidupan setelah mati ini, setiap diri itu akan diberikan ganjaran amalnya dan akan kekal dalam pembalasan itu, buruk atau baik, bahagia atau derita. 

Dalam usaha untuk mencapat tingkat kesempurnaan paling tinggi yang mampu dicapai manusia, Islam tidak melupakan tabiat semulajadi manusia, juga tidak melupakan kemampuan manusia yang tidak sama untuk sesuatu. 

Berdasarkan pandangan dan konsep yang dilandaskan kepada kenyataan ini, Islam telah menentukan batas kesempurnaan paling minima atau paling rendah yang mesti dan wajib ada pada manusia. Muslim tidak boleh meletakkan dirinya ke parah lebih rendah dari parah minima ini, kerana paras minima ini merupakan paras darurat bagi pembentukan peribadj seorang muslim yang dapat diterima akal, juga kerana paras minima ini merupakan paras paling rendah yang boleh diterima bagi mengiktirah seseorang itu muslim. Kadar ini juga merupakan kadar yang mampu dilakukan oleh semua orang, walaupun ia hanya memiliki kemampuan paling sedikit untuk mencapat peringkat kesempurnaan. 

Kedua-dua peringkat kesempurnaan paling minima dan paling maksima ini terdapat dalam ajaran syariat Islam. Sebagai contoh, kita kemukakan perkara-perkara berikut:

I. SOLAT
Ibadah solat ini ada yang difardukan dan ada juga yang disunatkan. Solat yang difardukan termasuk ke dalam kesempurnaan paling minima. Ini bererti bahawa untuk mencapai tingkat kesempurnaan paling minima dalam solat seorang mestilah melakukan solat-solat fardu. Solat-solat sunat pula termasuk ke dalam kesempurnaan yang lebih tinggi. 

II. PUASA
Ada ibadah puasa yang fardu iaitu puasa di bulan Ramadhan. Puasa fardu ini termasuk ke dalam lingkungan kesempurnaan paling minima. Di samping puasa fardu ini, ada pula puasa-puasa sunat seperti puasa enam hari dalam bulan Syawal puasa hari putih tiap-tiap bulan, puasa hari Isnin dan Khamis, serta puasa-puasa sunat. Puasa sunat in tergolong dalam kesempurnaan yang lebih tnggi, dalam erti kata siapa yang memperbanyakkan puasa sunat, ia semakin mencapai tingkat kesempurnaan yang lebih tinggi dalam ibadah puasanya. 

III. HAJI
Ibadah haji difardukan sekali dalam seumur hidup. Itulah tingkat kesempurnaan paling minima dalam ibadah ini. Di samping itu, untuk mencapai kesempurnaan yang lebih tinggi disyariatkan pula ibadah umrah. 

IV. MENAFKAHKAN HARTA
Menafkahkan harta pada jalan Allah ada yang difardukan atas dasar ia merupakan peringkat kesempurnaan paling rendah yang dituntut oleh syarak, iaitu zakat. Di samping zakat, yang diwajiban ini ada pula menafkahkan harta pada jalan Allah dalam bentuk lain yang hanya disunat dan digalakkan seperti sedekah dan lain-lain. 

V. BERJUAL BELI
Islam menggalakkan supaya muslim berlaku mudah dalam penjualan, pembelian, dan pembayarannya. Kesemua ini dianggap oleh Islam sebagai nilai-nilai yang mulia, ia akan mendapat rahmat dari Allah. 

VI. MENJAGA LIDAH
Perkataan yang batil adalah haram. Ia wajib ditingalan. Meninggalkan perkataan yang haram merupakan kesempurnaan yang paling rendah. Selain daripada perkataan-perkataan yang haram ini ada pula perkataan-perkataan yang dimakruhkan seperti cakap-cakap kosong yang tidak berfaedah dan suka bercakap banyak. Meninggalkan banyak bercakap dan perkataan yang tidak berfaedah dianggap mulia dan merupakan suatu kesempurnaan yang tinggi. 

Dengan sifat ideal dan realistik ini, muslim akan dapat mencapai kesempurnaan paling tinggi yang mampu dicapainya, dengan cara yang mudah, sederhana, lengkap, secocok dengan fitrah, tanpa paksa, tidak menyusah dan memenatkan serta tanpa mengasing diri dari masyarakat. 

SYARIAH 
Syariah bererti undang-undang, aturan-aturan dan ketetapan Allah subhanahu wa ta’ala yang diperuntukkan bagi manusia untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah subhanahu wa ta’ala dan sesame mereka untuk mencapai kesejahteraan, keamanan dan kedamaian di dunia bagi menyelamatkan mereka untuk mencapai kehidupan abadi di akhirat kelak (Abd. Monir Yaakob, 1985). 

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman maksudnya: “Tidak seharusnya seorang mukmin sama ada lelaki atau perempuan mempunyai pilihan daripada urusan mereka terhadap apa yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya” (al-Ahzab, 33:36) 

Menurut Abu’l A’la Al-Maududi, sejak permulaan, Allah Ta’ala menurunkan syariah-syariah yang berlainan kepada Nabi-NabiNya, dengan tujuan memeliharakan hal-keadaan bangsa-bangsa yang berlainan pada zaman-zaman yang berbeza, untuk mendidik setiap ummat ini agar sentiasa berada dalam batasan akhlak, kemajuan dan ketinggian, dan mengarahkan mereka semua untuk mengikuti undang-undang yang syumul yang datang dari Tuhan. 

Manakala semuanya itu telah selesai di tangan semua Nabi yang terdahulu, maka pada kesudahannya datanglah ketua dan penutup Nabi-Nabi, iaitu Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam membawa undang-undang yang lengkap yang dapat dilaksanakan untuk seluruh dunia hingga kepada Hari Kiamat. 

Secara teorinya syariah merangkumi semua aspek kehidupan manusia sama ada kehidupan secara peribadi, sosial, politik, ekonomi dan intelektual. Secara praktiknya, ia memberi makna dan isi kepada perbuatan orang Islam dalam kegiatan mereka di dunia (Azam Hamzah, 1996)

Pembinaan tamadun Islam dimulakan dengan ibadah khusus yang terkandung di dalam syariah Islam. Ia dimulakan dengan pembinaan rohani melalui proses tazkiyat al-nafs (pembersihan jiwa) dengan toharah, solat, puasa, zakat, haji di samping ibadah-ibadah sunat yang lain seperti berzikir, membaca al-Quran, Qiyamullail, serta kepatuhan kepada semua suruhan (wajib) dan meninggalkan semua larangan Allah (haram). 

Insan yang diproses jiwanya dengan nilai akidah dan ibadah ini sahajalah yang mampu menjadikan seluruh aktiviti hidup sehariannya menjadi ibadah dengan cara mengikut sistem syariat yang ditetapkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dalam aspek kekeluargaan, kemasyarakatan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan, politik dan lain-lain. 

Apabila seluruh sistem syariat Islam dilaksanakan di dalam semua aspek kehidupan akan  terbentuklah tamadun Islam yang sebenarnya. 

MAQASID SYARIAH
Maqasid syariah terbahagi kepada tiga iaitu Dharuriyyah, Hajiyyah dan Tahsiniyat. 

Dharuriyyah ialah asas bagi mencapai matlamat hidup manusia di dunia dan akhirat. Ia merangkumi aspek agama, jiwa/diri, akal, keturunan dan harta. 

Hajiyyah pula bertujuan untuk manusia mendapat kelapangan dalam kehidupan. Antara aspeknya termasuklah muamalat, jinayat dan munakahat. 

Tahsiniyat pula ialah perkara-perkara yang dianggap terpuji di dalam adat kehidupan dan pergaulan. Ia bertujuan untuk menjauhi suasana kurang baik. Ia merangkumi aspek-aspek kehidupan seharian, makanan, pakaian dan lain-lain. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)