Sumber Dan Matlamat Tamadun Islam

Tamadun Islam merupakan manifestasi daripada kefahaman dan penghayatan umatnya terhadap seluruh ajaran Islam. Matlamat utama tamdun Islam ialah untuk mengangkat Islam sebagai ad-din iaitu cara hidup yang lengkap dan komprehensif. Islam berpegang kepada dua sumber yang kukuh iaitu sumber primer dan sumber sekunder. Manakala matlamat tamadun Islam pula terbahagi kepada dua iaitu matlamat umum dan matlamat khusus. 

Sumber primer adalah al-quran dan hadis. Al-quran membicarakan tentang iman, ibadah, syariah, akhlak, sejarah, sains dan persoalan dunia akhirat. Makakala hadis pula ialah segala pengakuan, perbuatan dan perkataan Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam kepada sahabat. Sumber sekunder pula atau kata nama lain sumber ijtihadi ialah qiyas dan ijmak. Qiyas ialah meletakkan hukum ke atas sesuatu perkara yang masih belum ada hukumnya berdasarkan kepada perkara yang telah ada hukumnya dalam al-Quran atau pun al-Sunnah kerana terdapat persamaan dari segi illahnya. Manakala ijmak pula ialah kata sepakat para mujtahid dari kalangan umat Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam selepas kewafatannya mengenai sesuatu hukum syara'. Ijmak itu mestilah kata sepakat dari semua kalangan Mujtahidin semasa. 

Matlamat utama tamadun Islam ialah menjadikan Islam sebagai cara hidup yang mencakupi dunia dan akhirat. Matlamat tamadun Islam terbahagi kepada dua iaitu matlamat umum dan matlamat khusus. Matlamat umum ialah hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam. Matlamat khusus iaitu maqasid syariah yang memelihara akal, memelihara keturunan, memelihara agama, memelihara jiwa dan memelihara harta. Ia pula mempunyai maqasid dhururiah iaitu asas bagi mencapai matlamat hidup manusia di dunia dan akhirat. maqasid hajiayah pula ialah bagi mendapat kelapangan dalam kehidupan sepertiSistem Muamalat. Undang-undang Jinayat dan Peraturan Munakhat. Seterusnya maqasid tahsiniah ialah merangkumi perkara-perkara yang dianggap terpuji didalam adat kehidupan dan pergaulan. 

Sumber tamadun Islam terbahagi kepada al-Quran, as-Sunnah serta al-Ijtihadi yang terbahagi kepada yang disepakati dan tidak disepakati. Sumber al-Ijtihadi yang disepakati ialah ijmak dan qiyas. Manakala sumber-sumber yang tidak disepakati ialah al-Istihsan, al-Istishab, Sadd al-Dzari'ah, 'Uruf, Maslahah, Qawl Sahabi dan Syar’un man Qablana. 

Sumber perundangan Islam yang kekal dan benar ialah kitab suci al-Quran, iaitu wahyu Allah yang diturunkan kepada manusia melalui Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wa sallam) untuk memberi petunjuk kepada mereka. Wahyu-wahyu ini bersifat universal, kekal dan fundamental. Namun demikian, terdapat beberapa tanggapan yang salah dalam kalangan ahli fikir Islam dan bukan Islam tentang maksud sebenar al-Quran. Tanggapan salah yang pertama, timbul kontroversi sama ada al-Quran itu telah ‘dicipta’ oleh manusia atau sebaliknya. Golongan Mu’tazillah dan beberapa orang ahli fikir bukan Islam percaya bahawa al-Quran itu telah dicipta oleh manusia. Oleh yang demikian, al-Quran bukan kalam Allah yang abadi. Mereka beranggapan bahawa al-Quran telah diilhamkan ke hati Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wa sallam) dan dari masa ke masa ia akan lahir dalam bahasa dan cara Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wa sallam). Dengan itu, mereka berpendapat bahawa al-Quran telah ‘dicipta’. Sebaliknya, berdasarkan pendapat Shah Waliullah dan Iqbal, al-Quran itu tidak dicipta tetapi al-Quran itu adalah wahyu yang telah diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wa sallam). 
Nas-nas al-Quran terbahagi kepada dua. Yang pertama adalah dalil yang merupakan nas yang terang dan jelas. Dalil-dalil ini tidak memerlukan penjelasan atau huraian yang lain. Contohnya, dalam firman Allahsubhanahu wa ta’ala dalam surah an-Nisa’, ayat 12 yang bermaksud : “Dan bagimu (suami) separuh dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak”. Yang kedua adalah dalil yang berupa hukum am. Ayat seperti ini memerlukan penerangan hadith. Hadith menentukan maksud ayat tersebut. Sebagai contoh, firman Allah yang bermaksud : “Dirikanlah olehmu akan solat” (Al-Baqarah, 43). Ayat ini bersifat am dan memerlukan penjelasan kerana ia tidak menerangkan cara atau peraturan solat, syarat atau rukunnya. Untuk mengetahui perkara ini, kita perlu merujuk kepada dalil daripada hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud : “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (Riwayat Al-Bukhari). 

Nama-nama lain bagi al-Quran adalah al-Kitab, al-Furqan, az-Zikr dan asy-Syifaa’. Banyak lagi nama-nama lain bagi al-Quran, antaranya ialah an-Naba’ (berita), ar-Ruh (roh atau jiwa manusia), al-Basyir (khabar gembira), al-Karim (yang sangat mulia), at-Tanzil (yang turun dari atas) dan lain-lain. Terdapat juga ciri-ciri khusus al-Quran. Ciri yang pertama adalah kitab al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan berbeza dengan kitab Samawi yang lain. Ciri yang kedua adalah al-Quran diturunkan oleh Allahsubhanahu wa ta’ala kepada Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam dengan lafaz dan maknanya sekali. Ciri yang ketiga ialah al-Quran merupakan mukjizat terbesar kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan membuktikan kerasulan Nabi Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. . Ciri yang keempat adalah al-Quran disampaikan kepada umat manusia melalui riwayat yang mutawatir dan dengan jalan penulisan dari sisi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam hinggalah ke hari ini dan sampai ke hari kiamat. Ia adalah kitab yang diyakini ketepatannya serta tidak akan berlaku perubahan dan penyelewengan. Ciri yang kelima ialah membaca al-Quran di dalam sembahyang dan di luar sembahyang dikira sebagai ibadah yang mendatangkan pahala di sisi Allahsubhanahu wa ta’ala. Bacaan al-Quran yang diwajibkan dalam solat ialah surah al-Fatihah. 

As-Sunnah merupakan sumber perundangan Islam yang kedua selepas al-Quran. As-Sunnah memainkan banyak peranan dalam hidup manusia. Antaranya ialah menyokong dan menguatkan hukum yang terdapat dalam al-Quran, mentafsir dan menjelaskan maksud al-Quran yang mujmal serta membawa hukum baru atau menerangkan hukum yang tidak disebut dalam al-Quran. Selain as-Sunnah, ia juga disebut dengan nama al-Hadith, al-Khabar dan al-Athar. Walaupun sebutan dan istilahnya berbeza, namun dapat didefinisikan dengan satu makna yang hampir sama iaitu “apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sama ada melalui perkataan, perbuatan atau pengakuan bagindasallallahu ‘alaihi wa sallam. 

Perkataan as-Sunnah berasal daripada perkataan Arab yang dari bahasa bermaksud perjalanan atau cara hidup sama ada baik atau buruk. Dari segi syara’, as-Sunnah bermaksud setiap apa yang diperintahkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan yang dilarang oleh baginda atau yang digalakkannnya sama ada melalui perkataan, perbuatan atau pengakuan bagindasallallahu ‘alaihi wa sallam. As-Sunnah ditakrifkan dengan makna yang berbeza menurut pandangan al-Muhaddithin, ulama’ usul fiqh dan al-Fuqaha’. Al-Muhaddithin mendefinisikan as-Sunnah sebagai setiap apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sama ada perkataan atau perbuatan atau penetapan atau sifat baginda atau perjalanan hidup baginda sama ada sebelum dibangkitkan menjadi nabi atau selepasnya. Pandangan ini selari dengan istilah al-Hadith al-Nabawi. Menurut pandangan ulama’ usul fiqh, as-Sunnah ialah setiap sesuatu yang keluar daripada nabisallallahu ‘alaihi wa sallam selain daripada al-Quran, terdiri daripada perkataan, perbuatan dan penetapan baginda dengan syarat bahawa ia boleh dijadikan dalil dan bukti syarie. Manakala menurut pandangan al-Fuqaha’, as-Sunnah ialah setiap yang diperintahkan oleh nabisallallahu ‘alaihi wa sallam dengan ia merupakan ibadat yang tidak difardhukan atau diwajibkan. 

Sumber yang seterusnya ialah al-Ijtihadi. Sumber yang disepakati dalam al-Ijtihadi adalah ijmak dan qiyas. Dari sudut bahasa, ijmak bermaksud bertekad dan kesepakatan. Manakala dari sudut istilah pula bermaksud kesepakatan para mujtahid daripada umat Nabisallallahu ‘alaihi wa sallam dalam satu-satu zaman tertentu setelah kewafatan Nabisallallahu ‘alaihi wa sallam terhadap suatu hukum syarak. Kedudukan ijmak adalah di tempat ketiga selepas al-Quran dan as-Sunnah. Kewajipan patuh kepada ijmak sama seperti kewajipan patuh kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sesuatu hukum boleh dikatakan berlaku ijmak, sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu. Antara syaratnya adalah kesepakatan daripada semua mujtahid, kesepakatan mesti berlaku dari kalangan mujtahid sahaja, kelayakan mujtahid mesti dari kalangan orang mukallaf dan ijmak berlaku selepas kewafatan Nabisallallahu ‘alaihi wa sallam. ijmak terbahagi kepada dua iaitu ijmak sorih dan ijmak sukuti. Ijmak sorih adalah semua mujtahid bersepakat atas suatu perkara baik dengan ucapan ataupun dengan perbuatan. Semuanya dalam satu suara untuk menyetujui keputusan itu tanpa ada yang mengingkari ataupun diam. Maka, ijmak seperti ini wajib diamalkan dan dijadikan hujah menurut para jumhur ulama’. Ijmak sukuti pula adalah sebahagian ulama’ bersepakat atas keputusan yang telah ditentukan. Namun sebahagian yang lain masih ada yang tidak mengatakan apa-apa terhadap keputusan tersebut, meskipun tidak menzahirkan ketidaksetujuan. 
Qiyas dari segi istilah bermaksud, menjelaskan sesuatu yang tidak ada nasnya dalam al-Quran dan as-Sunnah dengan cara membandingkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas. Dalam erti kata lain, qiyas adalah menyamakan sesuatu yang tidak ada nas hukumnya dengan sesuatu yang ada nas hukumnya kerana adanya persamaan illat hukum. Qiyas mempunyai empat rukun, antaranya asal (pokok) iaitu perkara yang terdapat dalam hukum nasnya, disebut juga dengan al-maqis ‘alayhi. Selain itu, rukun furu’ (cabang) iaitu sesuatu perkara yang belum ada nas hukumnya, disebut pula al-maqis. Seterusnya, rukun hukum al-asal (hukum) iaitu hukum syarak yang terdapat dalam nas dalam hukum asalnya, kemudian menjadi ketetapan hokum untuk furu’. Rukun yang terakhir adalah illat (sebab) iaitu sifat yang didasarkan atas hukum asal atau dasar qiyas yang dibangun atasnya. 

Antara sumber al-Ijtihadi yang tidak disepakati adalah al-Istihsan. Menurut bahasa, al-Istihsan bermaksud menganggap sesuatu itu baik. Dari sudut istilah, al-Istihsan bermaksud pengecualian masalah tertentu dari kaedah qiyas yang digunakan pada masalah yang serupa dengannya kerana sebab-sebab tertentu seperti menjaga kepentingan individu atau awam, atau menjaga keadilan yang selari dengan tujuan syariat. 

Sumber yang tidak disepakati yang seterusnya adalah al-Istishab. Al-Istishab diperkenalkan oleh al-Shafi’i. berdasarkan al-Istishab, apabila kewujudan sesuatu perkara itu telah terbukti, maka ia tetap dianggap wujud walaupun kemudian timbul kesangsian sama ada ia masih wujud ataupun tidak. Ia digelar al-Istishab al-Hal, jika keadaan masakini dinilai berdasarkan keadaan masa lepas dan menjadi al-Istishab al-Madi jika penilaian dibuat sebaliknya. Prinsip ini juga diakui oleh Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi, tetapi hanya digunakan untuk menolak sesuatu dakwaan (da’wa), yakni sebagai suatu alat pertahanan (daf da’wa) dan bukan untuk membentuk satu dakwaan baru (da’wa). Sebaliknya mengikut al-Shafi’I, ia boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan. Walaubagaimanapun, prinsip ini mendapat kedudukan yang agak penting, khususnya dalam persoalan-persoalan Fiqh. 

Selain al-Istishab, terdapat juga Sadd al-Dzari'ah. Sadd al-Dzari'ah bererti menahan atau menolak perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada kerosakan. Ini bermakna, pada asalnya perkara itu harus hukumnya, tetapi berlaku sesuatu ke atasnya yang boleh membawa kepada kemudaratan, walaupun pada kebiasaannya tidak sedemikian. Contohnya, menjual senjata seperti parang misalnya dalam keadaan fitnah berleluasa. Walaupun jual beli senjata itu sah dari segi syarak, namun suasana yang ada tidak mengizinkan dan hukumnya diharamkan buat sementara. 

Selain itu, terdapat juga 'Uruf. 'Uruf dalam bahasa Arab bermaksud mengetahui atau pengetahuan. Menurut istilah pula, 'Uruf ialah adat majoriti sesuatu kaum dari segi perkataan, pengucapan atau amalan. Dalam erti kata lain, 'Uruf ialah sebagai amalan yang biasa dilakukan oleh manusia dan dihayati dalam urusan kehidupan mereka. Sebagai contoh, menjadi 'Uruf di negara-negara Arab suami membayar sebahagian daripada mas kahwin kepada isteri semasa akad nikah dan sebahagian lagi dibayar selepas berpisah sama ada bercerai atau mati. 

Sumber yang dipertikaikan yang seterusnya adalah Maslahah. Maslahah bermaksud menarik manfaat dan menolak kemudaratan. Setiap manfaat atau kepentingan yang termasuk dalam tujuan-tujuan syariat iaitu untuk menjaga agama, nyawa, maruah, akal dan harta yang tiada dalil syariat sama ada ianya diambil pakai atau ditolak. Contohnya ialah kepentingan sesebuah negara Islam mengenakan sesuatu cukai ke atas rakyatnya yang belum pernah dikenakan sebelum ini. 

Seterusnya adalah Qawl Sahabi. Qawl Sahabi ialah fatwa sahabat Nabisallallahu ‘alaihi wa sallam berdasarkan kepada ijtihad semata-mata yang dinisbahkan kepada tabien dan orang yang selepasnya. Misalnya, Saidina Ali membuat aduan kepada Syuraih bahawa seorang Yahudi telah mencuri pakaian perisainya. Dalam kes ini, Hasan telah memberi kesaksian bagi pihak ayahnya Saidina Ali, tanpa mengambil kira wujudnya hubungan kekeluargaan antara anak dan bapa. Saidina Ali berpendapat kesaksian seorang anak kepada bapanya adalah harus hukumnya. 

Sumber yang dipertikai yang terakhir adalah Syar’un man Qablana. Syar’un man Qablana bermaksud hukum-hakam dalam syariat terdahulu, seperti syariat Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa adalah juga merupakan hukum-hakam yang disyariatkan kepada umat Muhammadsallallahu ‘alaihi wa sallam. . Contohnya, pelaksanaan qisas dalam ayat 45 dari surah al-Maidah merupakan hukum yang berasal dari syariat-syariat terdahulu tanpa adanya penafian daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. . 

Secara umumnya, matlamat tamadun Islam ialah untuk memartabatkan Islam sebagai Ad - Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap dan komprehensif. Selain itu, Tamadun Islam bergerak sebagai merealisasikan maqasid syariat itu sendiri. Oleh yang demikian, untuk mencapai matlamat tamadun Islam beberapa ciri yang bersifat alat digunakan sebagai bukti keunggulan tamadun Islam. Walaubagaimanapun harus diingatkan, bukti keduniaan bukanlah suatu yang utama kepada ketamadunan Islam yang diredhai Allahsubhanahu wa ta’ala. Antara bukti keduniaan tersebut ialah :
• Pengunaan tulisan : Ia mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam dan seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberikan kesan terhadap perubahan seluruh kehidupan kaum muslimin. 
• Wujudnya bangunan - bangunan bersejarah yang menjadi keagungan bagi generasi berikutnya seperti kota -kota, masjid, istana dan sebagainya. 
• Kemunculan kota - kota bagi menampung pertambahan penduduk yang sedia ada. 
• Wujudnya ketidakseragaman jenis bangsa yang memeluk Islam, dengan membentuk sebuah masyarakat Islam yang memainkan pelbagai peranan. Perbezaan peranan ini melahirkan pembahagian kerja dan seterusnya wujudlah suatu bentuk ekonomi bandar. 
Di samping itu, tamadun Islam merupakan manifestasi kepada kefahaman dan penghayatan umatnya terhadap seluruh ajaran Islam. Oleh itu, untuk menafikan kesan Islam terhadap pembentukan tamadun dan peradaban Islam adalah suatu tindakan salah. Hal yang demikian, tamadun Islam sememangnya berkongsi matlamat yang sama dengan Din al- Islam dari segi membawa rahmat ke seluruh alam. Tamadun Islam bergerak kearah merealisasikan matlamatnya yang boleh dibahagikan kepada dua : Matlamat Primer(utama) dan Matlamat Sekunder(sampingan). 
Tamadun Islam menyediakan ruang yang kondusif kepada umatnya untuk melaksanakan seluruh ajaran yang berkaitan dengan syariat dalam pelbagai aspek merangkumi ibadat, munakahat, muamalat, jinayah, kenegaraan dan budaya sejagat. 
Tambahan pula, tamadun Islam berjaya membangunkan institusi politik yang menjalankan pemerintahan negara, pembuatan dasar kerajaan, menegakkan prinsip - prinsip asasi anjuran Islam seperti keadilan kebebasan, kesamaan, syura, melancarkan operasi jihad dan menguatkuasakan undang - undang. Tertegaknya institusi Baitul Mal untukmenguruskan sumber kewangan, pendapatan dan perbelanjaan negara, pungutan zakat dan cukai, dan institusi kehakiman pula berjaya mengembalikan hak golongan yang lemah dan mengekang pengaruh golongan berada, melaksanakan keadilan undang - undang, memantapkan sistem perbicaraan, pendakwaan dan penghakiman. Dengan cara ini, manusia dapat menyaksikan keunggulan Islam sebagai a way of life dengan lebih realistik. 

Matlamat khusus tamadun Islam pula adalah untuk menjalinkan hubungan berikut :
1. Hubungan Manusia Dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala(HABLUMMINALLAH)
2. Hubungan Manusia Dengan Manusia(HABLUMMINANNAS)
3. Hubungan Manusia Dengan Alam 

Manusia dapat mengenal Allahsubhanahu wa ta’ala melalui rukun iman dan rukun Islam. Pelaksanaan hukum-hukum ini boleh membuktikan ketinggian iman seseorang. Perjanjian yang diikat dengan Allah subhanahu wa ta’ala melalui akidah, syariah dan akhlak tidak boleh dibatalkan. Ibadah yang dilakukan mengikut cara-cara yang betul dapat mengeratkan hubungan manusia dengan penciptanya. Ini merupakan hubungan yang paling mulia dan tertinggi. 
قل ان كان اباؤكم وابناؤكم واخوانكم وازواجكم وعشيرتكم واموال اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومساكن ترضونها احب اليكم من الله ورسوله وجهاد في سبيله فتربصوا حتى ياتي الله بامره والله لا يهدي القوم الفاسقين
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah al-Taubah : 24)
Oleh sebab itu, hubungan dengan Allah adalah suatu ikatan yang unik dan tidak menyamai perhubungan dengan yang lain. Malah, ia bersifat ubudiah. Oleh itu, perhubungan dengan Allah subhanahu wa ta’ala adalah yang paling unggul, bahagia dan suci murni. Di samping itu, hubungan dengan Allah ada implikasinya tersendiri:
• • Pengiktirafan terhadap pencipta
• • Pengiktirafan terhadap keagungan pemerintahan-Nya dan kebesaran kekuasaan-Nya
• • Pengiktirafan terhadap nikmat-nikmat Allah
• • Menyedari dan mengharapkan rahmat Allah
• • Penumpuan kepada Allah melalui permohonan dan doa
• • Cinta dan rindukan Allah sebagai matlamat
•. Melahirkan rasa tanggungjawab kepada Allah sebagai hambanya. 

Manusia dijadikan oleh Allah subhanahu wa ta’ala daripada asal keturunan yang satu iaitu daripada Adam a. s. bersama pasangan hidupnya Siti Hawa. Maka daripada kedua-duanya lahir manusia dan terus membiak memenuhi alam sehingga hari ini. Tiap-tiap manusia wajib menganggap manusia yang lain tidak kira bangsa, tempat dan warna kulit adalah mempunyai hak yang sama daripada segi kemanusiaan dan kebebasan. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dan seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa dan bersuku-suku
supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. ” (Al-Hujarat : 13)
Hubungan dan tatacara pergaulan dengan sesama manusia hendaklah berasaskan persaudaraan seagama, berbeza agama dan kemanusiaan secara amnya. Kesempurnaan masyarakat hanya dapat diwujudkan dengan adanya kerjasama, tolong-menolong dan perpaduan dengan cara penyelarasan undang-undang yang menentukan hak setiap masyarakat tidak dicerobohi. Kepentingan orang ramai hendaklah diutamakan daripada kepentingan diri sendiri. 

Allah subhanahu wa ta’ala menciptakan seluruh alam ini untuk keperluan manusia. Alam yang penuh dengan hidup-hidupan, tumbuh-tumbuhan, udara yang nyaman, air yang bersih, cahaya yang menyegarkan serta dijadikan siang dan malam silih berganti adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini bukanlah bererti manusia bebas menggunakan nikmat ini dengan sesuka hatinya, sebaliknya ia adalah satu amanah untuk ditadbir secara terancang ke arah mengabdikan diri kepada Allah untuk mencari keredhaan-Nya. Di tangan manusia terletaknya kemakmuran alam dan segala penghuninya. Ini ditegaskan oleh Allah subhanahu wa ta’ala di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi ini untuk kamu semua. ” (Al-Baqarah :29)

Selain akal, manusia juga dikurniakan roh yang mempunyai keupayaan untuk subur dan membesar. Kedua-dua unsur iaitu akal dan roh ini digunakan oleh manusia untuk berinteraksi dengan alam. Interaksi tersebut :
• Interaksi melalui ikhtibar, renungan serta penumpuan fikiran terhadap alam

• Interaksi dalam bidang pengambilan kepentingan dan penundukan segala yang terdapat padanya. 
Interaksi tersebut dapat dikenalpasti dalam :
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran

Dengan ini, segala saranan yang disebutkan dalam al-quran merupakan perhubungan atau interaksi manusia dengan alam, yakni melalui interaksi yang sempurna berpandukan pengamatan akal demi kelangsungan hidup manusia. 

Secara kesimpulannya matlamat tamadun Islam adalah untuk memartabatkan dan menjadikan Islam sebagai Ad- Deen iaitu cara hidup Islam yang lengkap dan komprehensif. Dalam hal ini, matlamat khusus tamadun Islam adalah untuk menjalinkan hubungan manusia dengan Allahsubhanahu wa ta’ala, hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar. 

Selain itu, tamadun Islam juga pernah menjadi satu contoh dan dipandang tinggi pada suatu ketika dahulu iaitu ada zaman pemerintahan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan zaman pemerintahan Khulafa’ Ar Rasyidin. 

Terdapat juga sumber di mana tamadun Islam ini boleh wujud, sumber asas tamadun Islam merupakan Al Quran. Manakala sumber seterunya merupakan As Sunnah. Kedua – dua sumber ini dijadikan inspirasi kepada umat Islam untuk membangun, membentuk dan menjadikan tamadun Islam lebih berkembang dan kukuh. 

Pembaca haruslah tahu untuk membezakan antara tamadun melayu dan tamadun Islam kerana kedua – dua tamadun ini berbeza dari pelbagai aspek. Tamadun Melayu mempunyai matlamatnya yang tersendiri dan juga sumber yang tersendiri. 

Terdapat pelbagai definisi yang boleh didapati dari pelbagai pihak, ini menghasilkan matlamat dan sumber tamadun yang berbagai. Jadi dari kesemua definisi tersebut telah digabung dan menjadikan ia suatu bahan bacaan kepada generasi kini. 

Sebagai penutup, kita sebagai umat Islam haruslah menerapkan semula tamadun Islam dalam kalangan umat Islam masa kini. Tamadun Islam semakin hilang ditelan arus zaman yang kian membangun ini. 

Pelbagai pihak mempunyai peranan masing – masing dalam membangunkan tamadun Islam ini. Diharapkan semua pihak tidak memandang enteng kemelut yang kian membiak ini. Namun begitu, remaja mempunyai peranan yang dominan dalam kemelut yang sedang hangat melanda umat Islam ini. Hal ini demikian kerana merekalah yang bakal memimpin Negara kita pada masa yang akan dating. 

Tambahan lagi, sistem pemerintahan pada tamadun Islam boleh diterapkan dalam system pemerintahan di Malaysia kerana ini akan menjadikan umat Islam lebih peka dengan adanya tamadun Islam ini. 

Pelbagai alternatif boleh diambil dari pelbagai pihak untuk membangunkan tamadun Islam pada masa kini. Antara pihak yang dapat membantu ialah sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. 

Pihak sekolah bolehlah menerapkan pembelajaran tentang tamadun Islam ini di dalam silibus pembelajaran di sekolah. Guru – guru haruslah memastikan anak murid mereka dapat fahami apa itu tamadun Islam dan dapat menghayatinya serta mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. 

Selain itu, ibu bapa juga bolehlah mengajar anak – anak mereka tentang tamadun ini sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah sentiasa mengingatkan anak mereka tentang susahnya pemimin pada zaman dahulu yang ingin menegakkan tamadun Islam. Anak – anak diibaratkan kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa mereka sendiri. 

Tiada ubat yang tiada penawarnya, diharapkan tamadun Islam dapat kembali semula ke generasi masa kini bagi melahirkan Negara yang bertamadun dan dipandang tinggi oleh Negara lain, insyaAllah. 

BUKU :

• Pengenalan Tamadun Dan Pemikiran Islam Kontemporari, 
o Mohd Nasir Ayob
o Dr Noor Syahidah Mohamad Akhir
o Ahmad Yumni Abu Bakar
• Pengenalan Tamadun Islam dalam Baharuddin Yatim dan Sulaiman Noordin, 
o Mohamad Taha (1990)
• Tamadun Islam dan Tamadun Melayu, 
o Fairuzah Hj Basri
• Asas – asas Pandangan Hidup Islam, 
o Jamalia Aurani
o Ahmad Termizi Ab Lateh
o Noor Azura Zainuddin
o Ahmad Sabri Osman
o Raihaniah Zakaria
o Che Latifah Ismail
o Siti Fatimah Sudin
o Sharipah Isa
o Azri Bhari 

Tiada ubat yang tiada penawarnya, diharapkan tamadun Islam dapat kembali semula ke generasi masa kini bagi melahirkan Negara yang bertamadun dan dipandang tinggi oleh Negara lain. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)