Teori Kedatangan Islam Ke Alam Melayu

TEORI -TEORI KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU
Alam Melayu merupakan gugusan pulau-pulau yang dihuni oleh bangsa Melayu yang serumpun. Ianya terdiri daripada beberapa buah Negara seperti Indonesia, filiphina, Brunei, Pattani, dan Malaysia. Ia terletak di antara lautan Hindi dan Laut China Selatan dan merupakan pintu sempit yang mesti dilalui kapal-kapal yang berulang alik antara lautan tersebut. Manakala semenanjung Tanah Melayu pula merupakan pintu masuk dari gugusan kepulauan Melayu ke tanah besar Asia Tenggara. 

Para Sejarawan berselisih pandangan tentang tarikh kedatangan Islam ke Alam Melayu. Ada yang mengatakan pada abad ke 8M, abad ke 9M dan ada yang mengatakan pada abad ke 7M di zaman Rasulullah  sallallahu ‘alaihi wa sallam. Meraka juga berselisih tentang asal usul kedatangan Islam ke Alam Melayu. Ada beberapa teori yang telah dikemukakan, antaranya ialah teori dari Arab, teori dari India dan teori dari China dan Champa. 

TEORI DARI ARAB 
Berdasarkan teori ini, dakwah Islamiyah datang secara langsung dari Negara Arab melalui jalan laut. Teori ini juga disandarkan oleh beberapa kenyataan antaranya ialah Dr. O. W. Wolters berpendapat bahawa hubungan perniagaan di antara Arab dengan China melalui kawasan-kawasan Asia Tenggara telah wujud sejak zaman jahiliyah lagi. 

Selain itu, Prof. Thomas Arnold menyatakan mustahil dapat diketahui tanggal yang jelas dan tahun yang tepat bilakah masuknya agama Islam ke pulau-pulau Melayu itu. Mungkin telah dibawa masuk ke sana oleh saudagar-saudagar Arab pada abad pertama dari Hijrah Nabi, iaitu lama sebelum sampai kepada kita keterangan-keterangan tentang sejarah terjadinya pengaruh agama itu di negeri-negeri itu. Yang menyebabkan bahawa kemungkinan seperti itu sangat boleh jadi, ialah kerana telah kita ketahui bahawa orang Arab telah melakukan perniagaan yang sangat luas di bahagian negeri itu sejak masa permulaan sekali. Pada abad ke-2 dari Hijrah perniagaan di Pulau Ceylon semuanya adalah dalam tangan mereka. Sejak permulaan abad ke-7M perniagaan mereka telah sampai ke Tiongkok, dan sangat maju, dengan melalui Ceylon, sehingga di pertengahan abad ke-8M (masih abad pertama Hijrah) saudagar-saudagar Arab itu telah mempunyai pusat perniagaan yang ramai di Kanton. Di antara abab ke-10 dengan abad ke-15, sampai datangnya bangsa Portugis, di tangan orang Arablah terpegang seluruh perniagaan di sebelah Timur, dengan tidak ada siapa pun saingannya. Oleh sebab itu dapatlah kita menyangka, dengan sedikit kepastian yang dapat diterima akal, bahawa orang Arab telah meletakkan sendi-sendi daerah perniagaannya pada beberapa pulau Melayu pada masa itu, sebagaimana yang mereka lakukan pula di tempat-tempat yang lain di masa-masa permulaan. Beliau menguatkan lagi pendiriannya, berdasarkan kepada penyelidikan yang telah dilakukan oleh ahli-ahli sebelumnya. “Meskipun ahli-ahli geografi bangsa Arab belum menyebut pulau-pulau itu sebelum abad ke-19M (abad ke-2 dan ke-3 Hijrah), namun kita telah dapat catitan-catitan tahunan yang diperbuat oleh pelajar-pelajar bangsa Tionghoa pada tahun 684M tentang berjumpanya seorang pemimpin Arab, yang menurutnya penyelidakan terakhir ialah pemimpin dari satu koloni orang Arab di pantai Pulau Sumatera sebelah Barat. ” 

Seterusnya, Marshal Broomhall pula berpendapat bahawa perhubungan orang-orang Arab dengan China berlaku pada zaman Tang iaitu pada 618-907M. Pada tahun 878M, telah tercetus pemberontakan oleh kaum Petani di Canton di bawah pimpinan Huang Chao yang mengorbankan antara 120, 000 hingga 200, 000 orang Islam (Arab dan Parsi). Bagi mereka yang sempat melarikan diri kemudiannya telah berhijrah ke Nusantara. Pendapat ini simembuktikan bahawa orang-orang Arab dan Parsi telah berperanan menyebarkan Islam di Alam Melayu. 

Disamping itu, Ferrand dan Schricke menyebutkan bahawa satu armada yang terdiri daripada 35 buah kapal Parsi milik Khalifah Umar Abdul Aziz (717-720M) telah berlepas ke Ceylon menuju Palembang pada tahun 717M. Mereka tinggal disana selama lima tahun dan kemudiannya munuju ke China. Angkatan ini telah mengirim misi dakwah Islam ke serata Negara. Di zaman Umar Abdul Aziz inilah raja Sriwijaya “Sridavarman” di katakana telah memeluk Islam. Kerajaannya terkenal dengan nama “Kerajaan Sri Buddha Islam”. Buktinya ialah masih tersimpan dalam koleksi General Abdul Kadir di muzium Sepanyol di Madrid. 

Akhir sekali, Prof. Wang Gungwu mengemukakan fakta bahawa mulai abad ke 9M, pedagang-pedagang Arab telah menguasai Perdagangan Nauhai (Asia Tenggara). Kapal-kapal mereka dikatakan telah berlayar dari Oman ke Kedah, iaitu pelabuhan kerajaan Sriwijaya. Mereka juga telah mendirikan penempatan-penempatan di kawasan pantai Nusantara. Kenyataan-kenyataan di atas telah diperkuatkan oleh catatan-catatan yang dibuat oleh Ibnu Battutah (1345M). Catatan-catatan ini membuktikan bahawa orang-orang Arab benar-benar mengenali Gugusan Pulau-Pulau Melayu (Malay Archipelago) dan mengambil berat tentangnya sebelum abad ke-7M lagi. Mereka telah banyak bergerak dengan cergas dan meluas di lapangan perniagaan. 

Berdasarkan teori-teori tentang kedantangan Islam ke Alam Melayu di atas, di dapati Islam telah datang ke Tanah Melayu atau Nusantara secara langsung dari Negara Arab. Selain itu, Faktor perdagangan telah membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak abad ke-7M lagi (awal hijrah). Seterusnya, Kegiatan-kegiatan dakwah Islamiyah pada ketika itu telah dilakukan oleh orang-orang Arab sendiri. Akhir sekali, Misi-misi dakwah telah bermula sejak zaman sahabat Nabi lagi dan diperkuatkan oleh KhalifahUmar Abdul Aziz.  
TEORI DARI INDIA
Snouck Hurgronje merupakan salah seorang ahli sejarah Belanda yang mendukung teori ini. Menurut beliau, Asia Tenggara sentiasa tertumpu kepada India untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan peluang perniagaan berbanding Arab dan Parsi. Oleh itu, penerimaan Islam oleh gugusan pulau-pulau Melayu adalah lanjutan setelah penerimaan India (S. Q. Fatimi, 1993). Bagaimanapun, para sarjana kebanyakan tidak sependapat tentang dari daerah manakah di India Islam di bawa masuk ke Alam Melayu. Pendapat-pendapat tersebut dapat diringkaskan antaranya ialah pertama Van Ronkel menganggap bahawa Islam dibawa dari India Selatan dengan alasan bahawa cirri-ciri mistik, sastera roman dan sebagainya di Indonesia adalah berasal dari India Selatan. 

Kedua, Moquette dan R. A. Kern, memilih Gujerat sebagai tempat asal Islam dengan mengemukakan bukti-bukti tentang adanya persamaan di antara batu-batu nisan di Pasai (1428M) dan di Gersik (1414M) dengan batu nisan di Gujerat. 

Selain itu, G. E. Morrisan menolak teori dari Gujerat kerana ketika Samudera diIslamkan, Gujerat dan daerah-daerah lain di India masih lagi beragama Hindu. Menurutnya, Bengal terlebih dahulu menerima Islam setelah ditawan oleh orang-orang Islam sejak awal abad ke 13M, kemudian baru diikuti oleh kawasan-kawasan lain. Tambahan pula, Gujerat bermazhab Hanafi sedangkan Nusantara dan Benggal adalah menganut Mazhab Syafi’i. 

Seterusnya, S. Q. Fatimi mengemukakan hujah bahawa Malikus-Salih bukanlah orang tempatan tetapi orang Benggali. Batu nisan Malikus-Salih, batu nisan di Pasai dan batu nisan di Gerisik bukan berasal dari Gujerat kerana Islam sampai di sana menjelang abad ke 13M. Walaupun batu nisan dari Gujerat amat digemari, tetapi ia dikirim ke Nusantara selepas 200 tahun mangkatnya Maliku-Salih. 

Akhir sekali, Ada juga pendapat mengatakan Islam dibawa masuk ke Nusantara dari Pantai Malabar keran persamaan Mazhab Syafi’i. Teori ini diperkukuhkan dengan peranan Fakir Muhammad yang berasal dari sana dan mengIslamkan Malikus-Salih iaitu Merah Silu di Pasai. Teori ini ditolak oleh Hamka kerana Malabar atau Mu’tabar bermakna tempat persinggahan syeikh Ismail yang telah diutuskan oleh Syarif Makkah untuk mengIslamkan Merah Silu. Di Malabar, Syeikh Ismail desertai oleh Fakir Muhammad, bekas seorang raja iatu Sultan Muhammad berketurunan Abu Bakar al-Siddiq yang merupakan bukan anak jati Malabar. 

Menurut Wan Hussein Azmi (1980), teori dari India ini wujud berasaskan tiga perkara iaitu apabila orang India memeluk Islam, mereka telah dating ke gugusan pulau-pulau Melayu termasuk Malaysia dengan membawa hubungan perdangan. Selain itu, adanya persamaan dari segi bahasa yang diambil dari istilah India Selatan seperti lebai, raja, permaisuri dan laim-lain. Seterusnya, adanya penemuan batu nisan yang dipercayai dari Gujerat, India seperti makam Maulana Malik Ibrahim di Gerisik tahun 1419M dan penemuan perkuburan tua kaum Muslimin ditebing sungai Kedah yang mempunyai ukiran serupa dengan batu nisan di India. 

Berdasarkan perbahasan di atas didapati bahawa sarjan-sarjan tersebut menyokong teori kedatangan Islam ke Alam Melayu atau Nusantara dari India, tetapi mereka berselisih pandangan tentang daerah di India tersebut sama ada India Selatan, Benggal, Gujerat, pantai Malabar dan sebagainya. Walaupun begitu, mereka seolah-olah bersetuju bahawa Islam mulai masuk ke Alam Melayu atau Nusantara pada abad ke-13M, sedangkan proses Islamisasi di sini sudah pun berjalan sejak abad pertam Hijrah lagi. 

TEORI DARI CHINA DAN CHAMPA
Teori datangnya Islam ke Alam Melayu dari China dan Champaini telah disokong oleh beberapa hujah antaranya ialah pertama Emanual Godinho de Eredia seorang saintis dan ahli Matematik Sepanyol menulis tentang gugusan pulau-pulau Melayu pada tahun 1613M. Beliau menyebut bahawa akidah Muhammad telah terlebih dahulu diterima di Pattani dan Pam di persisiran pantai timur dan selepas itu barulah diterima dan disebarkan oleh Parameswara di Melaka tahun 1411M (S. Q. Fatimi, 1993). 

Kedua, dalam sejarah Dinasti Sung (960-1279) tercatat bahawa Islam telah berkembang di sepanjang pantai laut China pada tahun 977M. Selain itu, ada bukti yang menunjukkan Islam sampai di China lebih awal dari tahun977M dengan ditemukan satu papan lukisan di masjid Sang Fu (742M). Bahkan ada riwayat mengatakan Islam telah sampai ke China pada zaman Rasulullah  sallallahu ‘alaihi wa sallam. iatu pada zaman pemerintahan Thai Sung (627-655M). Muslim pertama yang tiba di sana ialah Ibn Hamzah (anak Hamzah ibn Abi Talib) sepupu Rasulullah  sallallahu ‘alaihi wa sallam. bersama dengan tiga ribu orang muhajirin dan tinggal di San Gan Fou. Mereka kemudiannya telah diikuti oleh Muslimin yang lain yang menggunakan jalan laut dan tinggal di Yunnan (China bahagian selatan). Hubungan ini terjalin kerana faktor perniagaan dan Canton pada masa itu menjadi pusat pelabuhan perniagaan. Oleh itu, dipercayai kedatangan Islam ke Alam Melayu adalah dari China kerana mereka terlebih dahulu menerima Islam lalu menyebarkannya. 

Selain itu, S. Q. Fatimi menyebut tentang kewujudan kerajaan Bani Champa (1000-1471) yang dianggapnya didirikan oleh pelarian-pelarian Syiah Alawiyah dari Damsyik. Mereka kemudiannya melarikan diri ke Makkahserta Acheh setelah diserang oleh kerajaan Annam, hujjah ini diperkukuhkan dengan penemuan batu bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303M yang disamakannya dengan batu nisan di Champa Selatan. 

Seterusnya, Dr. Abdul Jalil Hj. Hassan dalam catatan sejarah Chau-Ju-Kua (1225M) terdapat negeri Islam yang disebut Fo-lo-an. Dipercayai Fo-lo-an ini ialah Kuala Berang di Terengganu dan disinilah dijumpai batu Bersurat (702H/1303M) yang membuktikan Islam dating ke Malaysia melalui pantai timur dari China atau Indo China. Baru-baru ini pula awal dari batu bersurat di Terengganu. Sekali lagi, penemuan ini menguatkan lagi teori dari China atau Indo China. 

Berdasarkan pembahasan tersebut, teori ini telah cuba mengemukakan bahawa Islam datang ke Alam Melayu atau Nusantara dari China berdasarkan dari peristiwa pemberontakan di Canton. Selain itu, ada pendapat lain yang mengatakan ia berasal dari Champa Selatan (Indo-China). Seterusnya, teori-teori dari China atau Indo China ini telah dikemukakan oleh sebahagian ahli sejarah berdasarkan penemuan-penemuan sejarah di Pahang, Kedah dan Terengganu. 

TEORI PALING KUKUH TENTANG KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU MENURUT PARA PENGKAJI SEJARAH MELAYU. 

Tiga teori tersebut mempunyai hujah-hujah masing-masing bagi membuktikan dari mana sebenarnya Islam dibawa ke Alam Melayu. Namun dari ketiga-tiga ini, teori dari Arab yang dianggap paling kukuh berdasarkan beberapa pandangan pengkaji sejarah Melayu, antaranya ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas mengemukakan hujah antaranya ialah pertama dari segi bahasa dan kesusasteraan keagamaan yang merujuk kepada sumber-sumber tulisan lama Islam yang berkaitan dengan kepualauan ini, tiada suatu pun laporan yang merujuk kepada penulis atau kitab yang berasal dari India atau digubah oleh orang India. 

Kedua, para mubaligh Islam di daerah ini terdiri daripada orang-orang Arab atau Arab Parsi dari gaya nama dan gelaran mereka. 

Selain itu, kandungan ilmu keagamaan yang mereka bawa bersifat Timur Tengah, bukan India seperti cara penghuraian akidah menurut pelbagai mazhab ilmu Tasawwuf. 

Seterusnya, pembentukkan tulisan jawi dan corak beberapa hurufnya yang serupa dengan huruf-huruf Arab. 

Akhir sekali, cara dan sebutan masyarakat Alam Melayu melafazkan al-Quran. Penggunaan istilah-istilah Arab dalam Bahasa Melayu. 

HUJAH-HUJAH HAMKA
Hamka berhujah untuk memperkukuhkan pendapat bahawa Islam dibawa terus dari Arab. Antara hujahnya ialah pertama Syeikh Ismail diutuskan oleh Syarif Makkah ke Nusantara untuk mengIslamkan Merah Silu. Kedua, pengIslaman Parameswara oleh Sayid Abdul Aziz yang dating dari Jeddah. Akhir sekali, pengIslaman di Acheh dirintis oleh Syeikh Abdullah Arif yang dating ke Alam Melayu dari tanah Arab bersama muridnya Burhanuddin dan lain-lain. 

FAKTOR-FAKTOR PERKEMBANGAN ISLAM DI ALAM MELAYU
Alam Melayu merupakan gugusan pulau-pulau yang dihuni oleh bangsa Melayu yang serumpun terdiri daripada beberapa buah negara seperti Indonesia, Filipina, Brunei, Pattani dan Malaysia. Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah diterima baik oleh masyarakatnya. Ia berlaku kerana dipengaruhi oleh beberapa faktor. 

Antara factor-faktor perkembangan Islam ke Alam Melayu adalah pertama keistimewaan ajaran Islam. Sebagai agama yang syumul, keistimewaan agama Islam berjaya menarik minat masyarakat Melayu. PengIslaman mereka berlaku secara aman tanpa pertumpahan darah. Konsep Tauhid (Allah yang Esa) begitu mudah diterima dan difahami berbanding agama sebelumnya yang bertuhankan bermacam-macam dewa dan sebagainya. Islam juga diterima kerana ada persamaan sesetengah nilai-nilai tempatan seperti mistik Melayu dengan Tasawuf Islam. 

Kedatangan Islam juga telah mengutamakan persamaan hak, persaudaraan sesame manusia, saling membantu dan berakhlak mulia. Di samping itu, Islam menganjurkan agar masyarakatnya mengimbangi tuntutan jasmani dan rohani, demi kebahagiaan dunia dan akhirat. 


Faktor perkembangan Islam yang kedua adalah perdangan. Pedangang Arab, Cina dan India telah sekian lama melakukan kegiatan perdangangan di Alam Melayu. Dipercayai sebahagian daripada pedagang-pedagang ini adalah golongan para mubaligh, pendakwah, ulamak dan ahli sufi yang telah membawa bersama kebudayaan, bahasa dan kepercayaan mereka di rantau ini. Di samping menjalankan perdangangan, mereka melakukan aktiviti dakwah dan mengadakan perbincangan-perbincangan tentang ajaran Islam di perkampungan-perkampungan perdagang. 

Peranan mereka dalam penyebaran Islam ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu usaha mereka sendiri menyampaikan Islam kepada penduduk tempatan dan keduanya ialah melalui kemudahan yang mereka berikan kepada para pendakwah Islam menaiki kapal-kapal mereka untuk bergerak dari satu perlabuhan ke pelabuhan yang lain untuk berdakwah. Para pedagang Islam mempunyai peluang yang sebaik-baiknya untuk menyebarkan Islam melalui tiga saluran iaitu hunbungan baik mereka dengan para penguasa pelabuhan, raja atau pembesar-pembesar tempatan. Selain itu, mereka mengahwini gadis-gadis tempatan dan menjalinkan hubungan baik dengan pedagang-pedagang lain yang dating dari berbagai-bagai kawasan di Nusantara. 

Di antara nama-nama pedangang dan pendakwah Arab yang berjasa mengIslamkan masyarakat Melayu, menurut catatan sejarah ialah Syeikh Abdullah Ariff, Syeikh Mulana Abdul Aziz (Jeddah), Syeikh Malik Ibrahim, Syeikh Ismail (Mekkah), Syarif Ali Mufaqquh Muqaddam, Tuan Sayid Habib Husain al-Qadri dan Tuan Syarif Awliya (Hadramaut). 

Para pedagang dan pendakwah ini turut dilantik oleh kerajaan Melayu Melaka menjawat jawatan Shahbandar untuk menjaga kepentingan pedagang-pedagang lain. Ini telah menjadi bukti bahawa mereka telah mempunyai hubungan yang begitu baik dengan pemerintah. Justeru, tidak hairanlah sekiranya Islam dikatakan tersebar dengan mudah melalui usaha-usaha saudagar dan pendakwah tersebut. 

Selain itu, pengIslaman Raja-Raja juga adalah salah satu faktor perkembangan Islam di Alam Melayu. Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang sangat setia kepada raja-raja kerana takut akan daulat jika menderhakai mereka ekoran kesan budaya yang ditinggalkan agama sebelumnya iaitu Hindu-Buddha. Justeru, apabila raja-raja memeluk agama Islam, maka dengan mudahnya pula jejak langkah mereka diikuti oleh para pembesar dan rakyat jelata. Di Pasai, pengIslaman Raja Malik menjadikan Islam lebih cepat berkembang dan Pasai menjadi kerajaan yang kuat. 

Seterusnya, perkahwinan. Kedatangan sesuatu bangsa ke Negara-negara lain dalam waktu yang lama, tidak dapat menghindari kemungkinan berlakunya proses interaksi melalui perkahwinan. Begitu juga apa yang berlaku di Alam Melayu di peringkat awal penyebaran Islam. Terbahagi kepada dua jenis perkahwinan iaitu perkahwinan siasah yang berlaku di kalangan kerabat diraja dan perkahwinan biasa yang berlaku di antara ulamak atau pedagang Islam dari India atau Arab degan orang tempatan. 

Perkahwinan para pedagang atau pendakwah dengan anak-anak gadis tempatan, puteri-puteri raja dan pembesar negeri ketika itu, telah memberi laluan terhadap perkembangan Islam kerana ia telah berjaya menarik minat ahli keluarga yang lain untuk turut menganut agama tersebut. 

Syeikh Abu Bakar misalnya, adalah seorang pendakwah yang terkenal berasal dari Mekah telah berkahwin dengan puteri Sulu dan menbantu kerajaan tersebut melaksanakan pemerintahan mengikut sistem Islam. 

Selain itu, berlaku juga perkahwinan diraja, iaitu raja yang telah memeluk Islam telah berkahwin dengan puteri-puteri dari negeri-negeri berhampiran atau negeri-negeri yang ditaklukinya. Contohnya, Sultan Mansur Shah (Melaka) telah mengahwinkan puteri-puteri baginda dengan raja-raja di kepulauan Melayu di Sumatera (Inderagiri) dan sebagainya. Parameswara pula telah memeluk Islam setelah berkahwin dengan puteri raja Pasai pada tahun 1414 M (Wan Abdullah Wan Mahmood, 1997). 

Disamping itu, penaklukan juga antara faktor-faktor perkembangan Islam di Alam Melayu. Pada zaman pemerintahan Sulatan Muzaffar Shah iaitu sultan Melaka kelima (1446-1256), keluasan pemerintahan wilayah Islam di bawah pimpinan baginda telah sampai ke pantai barat, pantai timur semenanjung Tanah Melayu dan di persekitaran perairan selat Singapura. Baginda juga Berjaya menguasai Kampar dan Indragiri di Sumatera. Kejayaan menakluki wilayah-wilayah tersebut telah pula membawa kejayaan kepada tersebarnya agama Islam. 

Seterusnya, pada zaman Sultan Mansur Shah iaitu sulatan keenam, wilayah kekuasaan Islam telah sampai ke Siak, Aru dan Rokan. Sementara di perairan selat Melaka, baginda telah berjaya membuka Bengkalis. Pulau Karimun dan Bentan (Nik Mohd. Rosdi Nik Ahmad, 2006). 

Para sultan Melayu Melaka juga menghantar ulamak-ulamak ke kawasan-kawasan tersebut untuk mengajar agama Islam. Setelah Kerajaan Melayu Melaka jatuh, peranan ini telah dilanjutkan oleh Kerajaan Islam Aceh sekitar abad 16M dan 17M di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan Sultan Iskandar Thani. PengIslaman kepulauan Jawa pula telah dilaksanakan oleh kerajaan Demak, Pajang dan Mataram. Kejatuhan Melaka tidak bererti berhentinya dakwah Islamiah di rantau ini keran pada abad ke 18M-19M, Pattani telah meneruskan usaha-usaha tersebut. Usaha-usaha yanga dilakukan oleh raja-raja Melayu terbukti telah Berjaya memperkukuhkan kedudukan Islam di Alam Melayu. 

Tambahan pula, pendakwah juga memain peranan yang penting untuk perkembangan Islam di Alam Melayu. Kehadiran pendakwah di tengah-tengah masyarakat Melayu telah menarik hati masyrakat tempatan kerana kemuliaan dan keperibadian yang dimiliki oleh mereka. Dalam pergaulan mereka dengan masyarakat, mereka telah menunjukkan sifat-sifat terpuji seperti menjaga amanah, kesucian, kebenaran, keadilan, menepati janji serta menjauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang terkutuk. Secara tidak langsung masyarakat setempat tertarik untuk bergaul dan seterusnya mengenali ajaran Islam. Akhirnya mereka memeluk dan mengamalkan agama tersebut dalam kehidupan. 

Pada peringkat permulaannya, mereka dikatakan menghadapi tentangan sami-sami Hindu yang menggunakan berbagai-bagai ilmu sihir untuk mematahkan kegiatan dakwah dan pengaruh Islam. Dengan pertolongan Allah subhanahu wa ta’ala, mereka dapat menghadapinya. Oleh itu, orang ramai mudah mempercayai kebenaran ajaran Islam. 


Pada zaman kekuasaan Melaka, Acheh dan Demak, para ahli tasawuf mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan sultan dan pembesar-pembesar Negara. Contohnya, pada zaman Acheh mereka memainkan peranan penting dalam urusan pemerintahan. Mereka menganggotai beberapa lembaga pemerintahan. Balai Gadang pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah dianggotai oleh 22 orang ulama terkenal di Acheh. Di samping itu, ulama-ulama luar yang datang ke Acheh seperti dari negeri-negeri semenanjung Arab, Parsi, Turki, India, Gujerat dan lain-lain telah menjadi penasihat kepada kerajaan dan guru-guru kepada institusi pengajian dan masjid-masjid. 

Seterusnya, sokongan pemerintah. Para sultan turut menyumbang ke arah kejayaan tersebarnya Islam di Alam Melayu. Mereka telah memberi kepercayaan kepada ulamak-ulamak untuk berperanan sebagai tenaga penggerak utama, membantu penyebaran dakwah Islam dan menjadi tenaga pengajar di wilayah-wilayah yang telah dibuka mahupun wilayah-wilayah baru yang belum menerima Islam. Sultan juga melantik ulamak menjadi penasihat dalam urusan negara dan berbincang bersama mereka tentang hal-hal agama. 

Penyebaran Islam di Tanah Melayu sangat berkait rapat dengan peranan pemerintah. Minat dan sokongan raja-raja dan pembesar-pembesar negeri terhadap pergerakan penyebaran Islam sangat penting. Contohnya, sultan-sultan di Acheh terlibat secara langsung dalam kegiatan ilmu pengetahuan dan penyebaran Islam. 

Antaranya ialah Sultan Alauddin Riayat Shah dan Sultan Iskandar Mahkota Alam. 
Syamsuddin al-Sumaterani dihantar ke Pahang untuk menyebarkan dakwah Islamiah. Sultan Iskandar Mahkota Alam turut menjadikan Acheh sebagai pusat pengajian dan kebudayaan Islam sehingga digelar sebagai Serambi Mekah. Institusi istana menjadi pusat pendidikan, pengajian ilmu dan penyebaran Islam. 

Sultan Alauddin Shah iaitu sultan Melaka ketujuh (1477M-1488M) adalah salah satu contoh yang nyata bagi membuktikan peranan dan sokongan pemerintahan terhadap penyebaran Islam. Selain terkenal dengan sifat kepahlawanannya, beliau juga terkenal sebagai ulamak yang warak. Baginda telah menjemput sultan-sultan yang berada di bawah kekuasaan wilayahnya ke majlis-majlis ilmu dan bertindak sebagai pengajar. Pada masa yang sama, undang-undang Islam telah dilaksanakan seperti hukum hudud dan sebagainya. 

Kesusasteraan dan penulisan juga menjadi faktor penting tersebarnya Islam di Tanah Melayu. Selepas kedatangan Islam, muncul tulisan jawi yang berasal daripada abjad huruf Arab. Dengan adanya tulisan tersebut maka bahasa Melayu berkembang dengan pesat sekali. Nahu dan perbendaharaan bahasa Melayu dilengkapkan dengn pengaruh unsur-unsur nahu dan kata-kata Arab hingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi sistem pelajaran dan pendidikan di Nusantara. Melalui bahasa Melayu itu, timbullah ulamak-ulamak yang giat berdakwah melalui tulisan. Maka terkenallah nama-nama seperti Hamzah Al-Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Bukhari, Al-Jauhari, Shamsuddin Al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel dan lain-lain. Melalui karya-karya merekalah agama Islam dapat tersiar dengan lebih meluas dan pesat. Semuanya menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa Islam di rantau ini. 

Selain itu, berbagai-bagai bentuk sastera Arab seperti syair, sajak, nazam dan sebagainya telah mempengaruhi bahasa Melayu. Akhirnya, lahir ramai tokoh pengarang Islam dalam kalangan para ulamak yang gigih menghasilkan karya sastera yang berunsurkan Islam. Banyak kitab agama dikarang atau diterjemahkan ke bahasa Melayu. Karya terjemahan tentang kisah-kisah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabat menarik minat dan perhatian penduduk Nusantara. 

MASYARAKAT MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM

Kehidupan manusia secara fitrahnya bermula dari sifat kemasyarakatan. Sifat kemasyarakatam itu wujud selama ada pembahagian kerja, pembahagian suatu peringkat tertentu tradisi dan system dan pembahaguan keuntungan. Selain itu terdapat juga idea-idea, gagasan-gagasan, perangai serta kebiasaan khas menguasai manusia umumnya. Dengan erti lain, masyarakat merupakan kelompok manusia yang berada di bawah peringkat kepercayaan, tujuan dan idea, bergabung dalam satu rangkaian kesatuan hidup bersama. 

Agama yang paling lama dianut oleh masyarakat melayu ialah Animisme. Animisme ialah kepercayaan kepada makhluk, roh ataupun objek-objek. Kepercayaan ini telah mewujudkan satu bentuk hubungan yang erat dikalangan manusia dan persekitarannya. Keakraban ini telah melahirkan sebuah bentuk kepercayaan bahawa setiap perkara yang berada di hadapan atau di sekeliling mereka juga ‘hidup’ dan memperoleh jasad atau roh dan keperibadiannya yang tersendiri. 

Kepercayaan ini juga berkait dengan suasana kehidupan masyarakat yang bergantung dan berharap kepada muka bumi, alam sekitar dan sebagainya untuk melakukan aktiviti pertanian yang telah menjadi sumber ekonomi kepada mereka. Kepercayaan animisme ini juga telah diwujudkan di dalam bentuk kepercayaan kepada puaka atau penunggu yang telah menghuni sesuatu tempat. Mereka juga turut percaya bahawa makhluk ini dapat mewujudkan kesan-kesan baik mahupun buruk kepada mereka semua. Animisme juga telah membawa kepada amalan agama iaitu pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu yang dipercayai mempunyai kuasa untuk mendatangkan kesan tertentu kepada pemuja. 

Sebelum kehadiran Islam di Pelalawan, orang-orang Pelalawan yang menganut kepercayaan animisme dan dinamisme yang telah bercampur dengan ajaran Hinduisme dan Budhisme. Menurut Koentjaraningrat, animisme adalah “kepercayaan bahwa dunia ini dipenuhi oleh ruh-ruh atau jiwa-jiwa, berupa makhluk halus yang tidak tertangkap oleh indera dan bertempat di dekat tempat tinggal manusia. Ia dapat berbuat apa saja yang tidak dapat diperbuat oleh manusia. Roh itu mendapat tempat yang penting dalam hidup manusia dan menjadi objek penghormatan dan penyembahan, yang disertai dengan berbagai upacara seperti doa (mantera), sajian atau korban. ”

Roh halus seperti yang dinyatakan oleh Koentjaraningrat dan Dictionary of Philosophy di atas, dalam Indonesia, kata A. G. Horning, dimaksudkan dengan “nyawa, kehendak atau semangat, iaitu daya kekuatan hidup yang dapat berada dalam diri manusia, pada haiwan, tumbuhan atau pada segala sesuatu yang ada. ”

Kepercayaan animisme dapat memberi bentuk yang bermacam-macam. Ia dapat memberi bentuk pemujaan terhadap roh manusia atau jiwa haiwan (necrolarty), terutamanya kepada roh manusia yang telah meninggal dunia. Pemujaan terhadap roh spiritul yang tidak dirangkaikan dengan suatu cara yang sesuai dengan jasad tertentu dan objek-objek tertentu (spiritisme), dan dalam bentuk pemujaan terhadap makhluk spiritual yang berkaitan dengan fenomena alam yang disebut kepercayaan naturisme. 

Orang Pelalawan yang masih percaya bahawa roh nenek moyang yang telah meninggal dunia atau pergi masih selalu ada di hadapan, dengan mereka, dan percaya bahawa di sekitar mereka terdapat pelbagai makhluk halus (gaib) yang dapat melakukan apa sahaja. Supaya tidak mengganggu, makhluk halus itu mereka hormati dan dijadikan sesembahan dengan melakukan berbagai ritual, seperti ritual kelahiran, perkawinan, pengubatan pelbagai penyakit, kematian dan pelbagai lagi. 

Mereka juga mempunyai kepercayaan dinamisme, iaitu satu kepercayaan yang menunjuk kepada pemujaan benda-benda, haiwan dan lain-lain, kerana benda-benda itu dianggap mempunyai banyak kekuatan ghaib. Oleh kerana orang primitif dan yang kebudayaannya masih rendah sekali di pelbagai tempat di dunia, menurut Harun Nasution mempercayai bahawa “setiap benda yang berada disekelilingnya dapat memperoleh kekuatan batin yang dasyat. ”

Kepercayaan terhadap kekuatan atau kuasa yang dasyat pada benda-benda, menurut Codrington, seperti mana dikutip oleh Koentjaraningrat: “Muncul dari kekaguman manusia terhadap berbagai gejala alam yang luar biasa dan dianggap sebagai asal dari kekuatan supernatural. Suatu kekuatan yang tidak dapat diolah oleh akal dan fikiran manusia dan yang mengatasi kekuatan-kekuatan alamiah, yang dikatakan dengan kekuatan ghaib atau kekuatan sakti. ”

Orang Pelalawan yang masih percaya bahwa benda alam mempunyai kekuatan dan kuasa yang datang dari roh-roh, yang disebut dengan mana, dan mereka percaya bahawa kekuatan itu dapat dimiliki oleh manusia-manusia sekalian. Orang yang memiliki mana adalah orang yang selalu berhasil dan berjaya dalam pekerjaannya, orang-orang yang mempunyai kuasa atau berkuasa, atau orang yang mampu memimpin orang-orang lain, seperti raja, pembesar, dukun, dan sebagainya. 

Mereka juga mempercayai keris mempunyai kekuatan dan kuasa yang dapat melindungi si pemilik atau pengguna dari pelbagai bencana atau musibah, juga dapat menciptakan bahaya bagi yang batinnya tidak kuat, kerana dianggap tidak serasi dan sesuai. Orang Melayu Pelalawan juga percaya bahawa tangkal mempunyai kekuatan ghaib, luar biasa dan dapat melindungi pemakainya dari sesuatu penyakit atau dari perlakuan sihir. Kepercayaan inilah yang menyebabkan orang-orang Melayu Pelalawan yang masih primitif dan yang kurang terpelajar masih memakai tangkal. 

Pengaruh agama Hindu tersebar sejak abad ke 6 yang dibawa oleh pedagang India. Penyebaran agama ini berkembang ketika kedatangan golongan Brahmana dan penerimaan agama ini oleh golongan pemerintah. Ajaran ini telah diterima oleh pemerintah kerana agama ini berpegang teguh kepada konsep Dewaraja iaitu raja adalah tuhan di bumi yang sekaligus telah memperkukuhkan kedudukan raja sebagai pemerintah. Sebagai contoh, terdapat dua buah kerajaan Hindu di Tanah Melayu iaitu kerajaan Langkasuka dan kerjaaan Kedah Tua. Disamping itu terdapatnya penyembahan Dewa Siva dan Vishnu, yang dapat dilihat daripada pembinaan Candi Bukit Batu Pahat dan Candi Bukit Pendiat di Lembah Bujang, Kedah. 

Oleh kerana prinsip kedatangan agama hindu yang diarahkan pada kaum bangsawan, banyak pihak yang mengatakan bahawa sebenarnya hanya golongan bangsawan yang menganut agama ini dengan sebenarnya. Meskipun mereka sendiri tidak benar-benar memahami dengan ajaran filsafat hindu yang asli. Mereka hanya mementingkan perkara yang berkaitan dengan tata upacara serta ajaran-ajaran yang membesarkan keagungan dewa bagi kepentingan mereka sendiri, sehingga secara tidak langsung dengan menjadi penganut agama hindu mereka memperkukuh kedudukan mereka didalam struktur lapisan didalam puncak masyarakat. 

Adapun dalam masyarakat melayu mereka lebih cenderung bersifat seni dibanding harus memahami kehalusan metafisik hindu yang bersifat filsafat. Beberapa kesusasteraan agama asli hindu-india yang diadopsi kedalam bahasa hindu-melayu telah ada pada mahabrata dan baghavad gita yang menggambarkan kehidupan arjuna dan bharatayuddha yang kesemuanya tidak menampakkan filsafat hindu asli. Agama Hindu ini sudah tersebar di daerah Pelalawan pada masa kekuasaan Majapahit, serta agama Budha pula diperkirakan telah masuk ke Pelalawan sejak daerah ini berada dalam kekuasaan Kerajaan Sriwijaya. 

Telah ada bukti-bukti yang memperlihatkan bahawa agama Budha telah tersebar dengan luas di daerah Pelalawan, seperti yang telah disebutkan dalam sejarah, adalah diterimanya kedatangan Maharaja Indera, Orang Besar Kerajaan Temasik yang telah melarikan diri setelah Temasik dikalahkan Kerajaan Majapahit, yang telah membina dan mewujudkan kerajaan Pekantua, di Pematang Tua, dekat Muara Tolam, yang menjadi cikal bakat Kerajaan Pelalawan. Maharaja Indera adalah seorang penganut Budha, ini terbukti bahawa beliau selain mendirikan istana juga membangun candi yang diberi nama Candi Hyang di dekat istananya. Bahan bangunan candi ini yang terbuat dari batu bata sama dengan bahan bangunan candi Muara Takus, yang sebahagian ahli menganggap Muara Takus adalah salah satu pusat kerajaan Srivijaya, sementara raja Kerajaan Sriwijaya itu sendiri adalah penganut Budha. Candi Hyang dibangun oleh Maharaja Indera sebagai tanda syukur atas selamatnya beliau melarikan diri dan berhasil membangun sebuah kerajaan. Kedudukan Maharaja Indera sebagai raja dan dibangunnya Candi Hyang bagaimanapun akan membawa pengaruh kepada rakyatnya. 

Mengenai awal mula kedatangan dan penyebaran agama Budha di Pelalawan, juga dapat diperlihatkan dari keberadaan kekuasaan Srivijaya di daerah ini. Sebagaimana disebutkan dalam sejarah, Kerajaan Srivijaya adalah sebuah kerajaan maritim di Asia Tenggara yang mempunyai kekuasaan besar atas darat dan laut Indonesia bahagian barat, Semenanjung Tanah Melayu dan Laut Cina Selatan. Kerajaan ini berkembang dan mencapai kejayaan selama beberapa abad. Mulai dari abad VII sampai akhir abad XIII Masehi. Pada masa itu Sriwijaya menguasai sepenuhnya Selat Malaka, sebuah jalur perdagangan utama yang sangat ramai dilayari, dilalui dan disinggahi armada-armada, pedagang-pedagang Arab, Persia, India, dan Cina. Penguasaan Sriwijaya terhadap posisi geografis yang strategis merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Sriwijaya bisa kuat dan berkembang. 

RUJUKAN
Nik Mohd. Rosdi Nik Ahmad. (2006). Catatan Ringkas: Perbincangan Mengenai Tamadun. Shah Alam: UPENA. 
Wan Abdullah Wan Mahmood. (1997) Tamadun Islam dan Tamadun Alam Melayu serta Sumbangannya kepada Dunia. Shah Alam: Global Printers Sdn. Bhd. 
Tamadun Islam Pemikiran & Sejarah Perkembangan. Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UITM Melaka Cetakan Ketiga 2014. 
Dr. Hamka. Sejarah Umat Islam. (1980). 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)